KUALA LUMPUR: Pelakon dan pempengaruh, Norreen Iman, 32, menjelaskan bekas suami, Raizi Razak melafazkan cerai terhadapnya, akhir tahun lalu, sekaligus menyebabkan tempoh idah tamat.
Tanpa memberi perincian lanjut, Norreen atau nama sebenar, Norreen Iman Abdullah berkata, dia dan Raizi atau nama penuh, Mohd Raizi Abd Razak, disahkan bercerai oleh Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, semalam.
“Ya, pagi ini (semalam) kami selesaikan segala-galanya. Segala persoalan mengenai apa yang berlaku akhirnya terjawab dan status saya sekarang memang sudah solo. Saya bukan lagi isteri sesiapa dan tempoh idah juga sudah selesai.
“Ramai terkejut kerana baru hari ini (semalam) pergi mahkamah tetapi idah sudah habis. Sebenarnya lafaz cerai sudah jatuh akhir tahun lalu, jadi idah juga sudah selesai. Itu keputusan yang ditetapkan hakim,” katanya pada majlis tayangan filem terbaharunya, Kata Hati, di GSC Mid Valley Megamall di sini, malam tadi.
Semalam, media melaporkan Norreen dan Raizi sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Berita perpisahan pasangan itu turut dikongsi menerusi hantaran Instagram (IG) dengan kedua-dua pihak memilih untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan selepas prosiding berlangsung.
Mengulas lanjut, Norreen berkata, tindakan mendapatkan pengesahan mahkamah dibuat demi kebaikan dirinya selain mengelak hidup dalam keadaan tidak pasti.
“Saya buat keputusan ini untuk diri sendiri kerana saya tak mahu hidup dalam keadaan samar-samar, tidak tahu apa yang boleh atau tidak boleh dilakukan.
“Bagi mengelakkan sebarang masalah dari sudut agama, lebih baik kami rujuk mahkamah dan apabila hakim sudah membuat keputusan, kami terima dengan hati terbuka.
“Mungkin Tuhan sudah menjentik hati kami kerana kami sudah lama tidak berhubungan. Sebenarnya, pengesahan lafaz cerai sudah lama difailkan, cuma kami perlu mengikut prosedur mahkamah, sebab itu prosesnya mengambil masa,” katanya.
Norreen mengakui dia tetap bersedih dengan perpisahan itu, namun menerima segala ketentuan dengan hati terbuka.
“Kami sudah berkahwin hampir 12 tahun. Saya tak boleh kata saya gembira dengan apa yang berlaku kerana terlalu banyak memori bersama Raizi dan anak-anak.
“Sekarang kami berada dalam fasa menerima keadaan. Saya hanya mahu bahagia, itu sahaja. Anak-anak juga okay dan kami sudah membuat perubahan daripada segi tempat tinggal sejak beberapa bulan lalu, jadi semuanya dalam keadaan baik,” katanya.
Tambah Norreen, anak-anak mereka juga semakin memahami situasi yang berlaku antara dia dan bekas suami.
“Mereka sudah faham, tetapi saya tak mahu mereka rasa kehilangan kasih sayang hanya kerana Mummy dan Baba berpisah.
“Kami akan terus mengekalkan konsep ‘co-parenting’ seperti yang dibincangkan sebelum ini supaya apabila anak-anak membesar nanti, mereka tidak rasa kehilangan ibu atau bapa.
“Saya sendiri membesar tanpa ayah, jadi saya tak mahu perkara sama berlaku kepada anak-anak,” katanya.
Norreen berkata, hubungannya dengan Raizi dalam keadaan baik demi anak-anak mereka.
“Kami sudah saling memaafkan sebelum pergi ke mahkamah lagi kerana kami tahu apabila tiba tarikh keputusan, kami perlu menyerahkan segala-galanya kepada Tuhan.
“Kami tidak mahu menyimpan sebarang perasaan negatif dalam hati. Untuk sampai ke tahap ini bukan sesuatu yang mudah dan keputusan ini juga bukan dibuat secara terburu-buru.
“Kami faham mungkin inilah jalan terbaik dan apabila hakim sudah membuat keputusan, kami terima dengan terbuka. Memang tidak mudah untuk sampai ke tahap ini, tetapi saya okay, Alhamdulillah,” katanya.
Norreen dan Raizi mendirikan rumah tangga pada 2011 dan dikurniakan dua cahaya mata.
Kredit : Berita Harian
