Siti ubat rindu peminat Indonesia

KUALA LUMPUR: Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza meluahkan rasa teruja apabila dapat menjejakkan kaki kembali ke Indonesia, baru-baru ini.

Menerusi hantaran di laman Instagram, Siti mengakui berasa senang apabila dapat berkongsi pentas bersama peserta sekali gus menghiburkan peminat Indonesia.

“Kesempatan saya kembali membuat persembahan di Indosiar khususnya D’Academy 5 sangat membahagiakan apabila saya dapat bertemu dengan bintang-bintang muda DA5 yang sangat berbakat dan juga peminat dan penonton di Indonesia.

“Alhamdulillah, dapat bersama-sama finalis Sridevi dan Eby serta berduet dengan Firdan adalah pengubat rindu saya kepada para peminat di Indonesia.

“Terima kasih Indosiar, terima kasih kepada semua yang menonton dan semoga ada rezeki saya dapat kembali ke negara ini,” harap Siti.

Siti diundang bagi membuat persembahan bersama finalis konsert akhir D’Academy 5 yang bersiaran langsung di stesen TV Indosiar pada Isnin.

Ternyata dengan kemunculan Siti Nurhaliza ibarat penyeri kepada rancangan nyanyian muzik dangdut popular Indonesia itu malah mengubati kerinduan peminat Indonesia.

Tampil memukau dengan beberapa persalinan, pelantun lagu Nian Di Hati itu kelihatan sangat anggun apabila berada di pentas.

Penampilan Siti itu juga mendapat perhatian di kalangan peminat apabila rata-ratanya memuji kecantikan penyanyi nombor satu negara.

Kemunculan terakhir Siti Nurhaliza di Indonesia adalah ketika Konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta, pada Februari 2019. – XTRA

 

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *