Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar 30 ahli Dewan Rakyat daripada Barisan Nasional (BN) untuk menghadap secara individu di Istana Negara pada jam 10.30 pagi esok.
“Adalah dimaklumkan bahawa lanjutan daripada sesi menghadap ketua-ketua gabungan Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional pada jam 4.30 petang ini di Istana Negara, proses seterusnya ialah sesi menghadap 30 ahli Dewan Rakyat daripada Barisan Nasional.
“Sesi menghadap secara individu ini dijadualkan berlangsung pada jam 10.30 pagi esok (23 November 2022) di Istana Negara,” memetik kenyataan rasmi itu.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata bahawa proses itu bertujuan bagi baginda dapat membuat keputusan untuk melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda berkemungkinan mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Tambahnya, baginda turut menyeru dan menasihati seluruh rakyat untuk kekal bersabar sementara menanti sebuah kerajaan baharu terbentuk.
“Seri Paduka Baginda menyeru dan menasihati seluruh rakyat agar bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pelantikan Perdana Menteri Malaysia ke-10 selesai.
“Seri Paduka Baginda menyeru rakyat untuk bersama mendoakan semoga proses tersebut dipermudahkan dan berjalan lancar demi kepentingan tanah air yang tercinta,” maklum kenyataan tersebut.
Sehubungan itu, YDPA mengajak rakyat bersama mendoakan agar negara dan rakyat sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah. Terdahulu, ketua-ketua gabungan Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional telah menghadap agong pada jam 4.30 petang tadi di Istana Negara.
Kredit : Siakap Keli