KULIM: Kemenangan Perikatan Nasional (PN) di Padang Serai dengan majoriti yang besar memberi isyarat bahawa rakyat meluat dengan gabungan kerajaan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata kemenangan PN itu adalah signifikan kepada suasana politik semasa yang tidak mampu menghalang kehendak atau kemahuan rakyat.
“Kalau menang dengan majoriti 1,000 atau 2,000 itu bermakna rakyat tolak tapi kalau majoriit sampai berbelas ribu itu rakyat meluat.
“Itulah signifikan keputusan Padang Serai kepada suasana politik hari ini dan ini (adalah) di sebalik BN sokong Pakatan Harapan. Kalau gabung dua-dua itu (BN dan PH) pun tak mampu menghalang kehendak dan kemahuan rakyat,” katanya ketika ditemui selepas di Kompleks Sukan Kulim Hi Tech di sini, malam tadi.
Terdahulu, calon PN Datuk Azman Nasrudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas diumumkan memenangi kerusi Parlimen Padang Serai Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) dengan majoriti 16,260 undi, sekali gus merampas kerusi itu daripada PH.
Beliau memperoleh 51,637 undi, jauh meninggalkan calon PH, Dr Mohamad Sofee Razak yang mendapat 35,377 undi, serta calon BN, Datuk C Sivaraajh (2,983 undi).
Selain itu, calon PEJUANG, Hamzah Abd Rahman mendapat 424 undi, manakala calon Bebas, Sreanandha Rao (846 undi) dan Mohd Bakhri Hashim yang mewakili WARISAN (149 undi).
Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, berkata kejayaan PN menang dengan majoriti yang besar di Kedah juga memberi keyakinan kepada pihaknya sama ada untuk mempercepat atau melambatkan Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Kemungkinan akan cepat atau akan lambat. Saya dah sebut dulu PRN akan berlaku pada bulan Mac dan ke atas, bulan terakhir dia akan gugur sendiri pada bulan Julai . Dalam tempoh 60 hari kita kena buat pilihan raya jadi masa dia antara bulan Mac hingga Julai. Itu sajalah,” katanya.
Ketika ditanya resepi kejayaan Kedah berjaya memenangi 14 daripada 15 kerusi Parlimen di Kedah, Muhammad Sanusi, berkata politik harmoni di Kedah adalah resepi utama kejayaaan gabungan itu yang membuatkan rakyat selesa dengan PN.
“Kita tak berlakon, kita jadi diri kita dan tak jadi orang lain, saya rasa itulah yang orang nak. Kita tak buang masa main politik…banyak.
“Kita pun tak ambil tindakan balas dendam kat orang, kita tak cari salah orang. Kita teruskan projek yang baik dan ada hubungan baik dengan pegawai, agensi dan jabatan bagi kerjasama yang baik,” katanya.
Pengerusi PN Kedah ini berkata, pihaknya akan menubuhkan satu unit khas di bawah Unit Perancang Ekonomi Negeri Kedah untuk memastikan 14 Ahli Parlimen negeri itu mengambil bahagian dalam beberapa sektor penting untuk di bawa ke sidang Parlimen.
“Mereka boleh bawa tanggungjawab di peringkat Negeri untuk disuarakan dan dibahaskan dalam Parlimen atau ketika pertemuan dengan menteri mungkin ada benda yang boleh disuarakan.
“Jadi ahli parlimen ini akan diberi tugasan. Ahad ni saya akan panggil mereka semua untuk pembahagian tugas,” katanya.
Kredit : Berita Harian