Skuad England Bawa Pulang ‘Dave’ Si Kucing Qatar, ‘Ganti’ Trofi Piala Dunia

Setelah kalah menentang Perancis, pemain bola sepak England membuat keputusan untuk membawa kucing di Qatar pulang ke United Kingdom (UK) sebagai ganti kepada trofi Piala Dunia yang gagal dijulang mereka.

Lapor Daily Mail, skuad Three Lions itu tidak akan meninggalkan Qatar dengan tangan kosong, sebaliknya mengambil peluang untuk menambah rakan ‘baharu’ dalam pasukannya setelah beramah mesra bersamanya sepanjang berada di sana.

Pemain pertahanan Kyle Walker dan John Stones yang bermain untuk perlawanan terakhir England, telah memutuskan untuk mengambil kucing liar yang diberi nama Dave oleh Stones, selepas berkenalan di tempat penginapan mereka.

Dave telah dijadikan sebagai maskot pasukan setelah sering bergambar bersama duo Manchester City tersebut pada setiap malam.

Semasa dalam persiapan menentang Perancis, Stones ditanya mengenai keadaan Dave.

“Dave baik-baik sahaja, dia bergaduh dengan kucing lain pada malam sebelumnya. Saya rasa dia bergaduh kerana berebut makanan, tetapi dia berada dalam keadaan baik.

“Saya harap saya boleh berpegang pada janji bahawa dia akan pulang bersama kami jika kami memenangi Piala Dunia. Keadaan Dave baik, terima kasih kerana bertanya,” kata Stones.

Manakala bagi Walker, Dave dianggap sebagai anak angkat kepadanya dan Stones.

“Kehadiran Dave sangat dialu-alukan. Ada orang memang tak suka kucing tetapi saya sayang dia,” ujar Walker.

Difahamkan, Walker telah berjanji untuk membawa Dave pulang ke England sekiranya mereka memenangi perlawanan itu, tetapi walaupun pasukan itu tewas kepada Perancis semasa suku akhir, kucing itu tetap akan mengikutnya pulang.

Dave meninggalkan Al Wakrah hanya dua jam selepas skuad itu berlepas dan akan menuju ke klinik veterinar untuk mengambil ujian darah serta vaksin.

Kucing kacak itu akan menghabiskan kuarantin selama empat bulan sebelum berpindah ke rumah baharunya.

Namun, pada ketika ini pasukan tersebut masih belum membuat keputusan siapa yang akan membela Dave selepas kucing itu tiba di UK kelak.

 

Kredit : Siakap Keli

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *