KUALA LUMPUR: Ketiadaan watak Jaafar atau lebih dikenali sebagai ‘Jekfer’ lakonan Hun Haqeem dalam musim ketiga Kampung People yang ditayangkan di slot Lestary TV3 sejak 18 November lalu, mengecewakan peminat drama rantaian popular itu.
Tidak dinafikan gandingan watak ‘Jekfer’ dan Laila lakonan Riena Diana menambat hati penonton sejak musim pertama drama Kampung People disiarkan pada 2019.
Hun atau nama sebenar, Haqeem Hermy membawa watak Jaafar dalam dua musim terdahulu dengan cemerlang dan mendapat maklum balas positif peminat.
Tidak hairanlah, apabila Hun tidak ditampilkan dalam musim ketiga Kampung People, drama itu dikatakan tidak lengkap dan bagai hilang seri.
Mengulas reaksi penonton yang kecewa ‘Jekfer’ tiada dalam senarai pelakon musim baharu drama itu, penerbit, Wan Hasliza Wan Zainuddin, berkata beberapa perkara tidak dapat dielak sebaik penggambaran bermula, termasuk watak Jaafar.
“Memang ramai tertanya-tanya mengenai ketiadaan Hun dalam musim ketiga ini.
“Tetapi disebabkan jadual dan beberapa perkara yang tidak dapat dielak, kita tidak dapat membawa Hun (dalam produksi musim ketiga).
“Watak Jaafar memang sangat penting untuk Kampung People. Cuma disebabkan beberapa perkara, Hun tidak dapat bersama kami untuk kali ini,” katanya kepada BH Online.
Bagaimanapun, Wan Hasliza menjelaskan, plot penceritaan kali ini memberi bayangan watak Jaafar masih wujud dan memaparkan perjalanan Laila yang mahu menjejaki lelaki itu.
“Walaupun Jaafar tiada, tetapi dalam cerita ini kami beri bayangan watak itu ada.
“Macam kita tahu dalam cerita ini ada sebuah agensi pekerjaan yang digambarkan kononnya tersilap letak dokumen sehingga menyebabkan Jaafar dihantar ke tempat lain.
“Secara umumnya, musim ketiga ini menceritakan perjalanan Laila untuk mencari Jaafar. Kita masih andaikan bahawa watak itu masih hidup dan ada dalam cerita ini,” katanya.

Selain Hun dan Riena, musim ketiga Kampung People yang dibintangi Elly Mazlein, Rashidi Ishak dan Kamarul Eqifshah, antara lain mengisahkan kejadian selepas keluarga Razif lakonan Rashidi dan penduduk kampung ditidurkan selama dua tahun akibat pandemik COVID-19.
Mereka kemudian dikejutkan dengan identiti baharu untuk mengaburi mata geng Cengkih Manis yang masih mengancam keselamatan.
Bagi mencari perlindungan dan mengelak dikesan, mereka mendiami flat di sebuah bandar.
Ditanya kemungkinan pelakon lain membawa watak Jaafar, Wan Hasliza berkata, mereka tidak bercadang menawarkan karakter itu kepada aktor lain.
“Tiada pelakon lain yang sesuai bawa watak Jaafar, hanya Hun sahaja.
“Jadi, kalau Hun tiada, lebih baik watak itu tiada,” katanya.
Mengulas sambutan musim ketiga yang bakal melabuhkan tirai, Sabtu ini, Wan Hasliza berkata, Kampung People masih menjadi pilihan ramai biarpun agak tenggelam dalam kehangatan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Setakat ini, masih ramai yang menonton dan tidak kurang yang bertanya di mana watak Jaafar.
“Rata-rata peminat rindu dan tertanya-tanya di mana watak itu,” katanya.
Mengenai kemungkinan Kampung People bakal disambung, Wan Hasliza berkata, banyak faktor perlu diambil kira.
“Kami bergantung kepada audiens jika mahu meneruskan dengan musim baharu.
“Kita juga perlu lihat adakah drama ini masih relevan untuk penonton.
“Jadi, perancangannya semua bergantung kepada kehendak dan cita rasa penonton,” katanya.
Kredit : Berita Harian