DOHA: Pemerintah Qatar menganggap negara Teluk itu memenuhi janjinya untuk menganjurkan Piala Dunia yang “luar biasa.”
Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani, yang menghadiahkan kapten Argentina, Lionel Messi jubah tradisional Arab selepas pasukannya memenangi trofi itu, memberi penghormatan kepada finalis dan peminat dalam satu kenyataan di Twitter selepas perlawanan.
“Kami berjaya memenuhi janji kami untuk menganjurkan kejohanan luar biasa oleh negara Arab, yang memberi peluang kepada rakyat dunia untuk belajar mengenai kekayaan budaya dan keaslian nilai kami,” kata emir itu.
Qatar membelanjakan lebih AS$200 bilion (RM884 bilion) untuk membina stadium dan infrastruktur baharu bagi Piala Dunia pertama di bumi Arab, yang mana Presiden FIFA Gianni Infantino menyifatkannya sebagai “kejohanan terbaik pernah dianjurkan.”
Namun negara Teluk itu berdepan kritikan teruk terhadap rekod hak asasi manusia serta layanannya terhadap buruh asing.
Pemimpin Qatar berkata, kecaman itu satu cubaan untuk mencetus keraguan mengenai hak dunia Arab menganjurkan kejohanan sebesar itu.
Messi jelas dilihat menyarung jubah tradisional ‘bisht’ yang dihadiahkan emir kepada ikon Argentina itu sebelum menjulang trofi Piala Dunia. – AFP
Kredit: Berita Harian