Siasatan kes jurulatih tampar pemain tetap diteruskan

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan tetap meneruskan siasatan insiden jurulatih bola tampar yang menampar dua pemain ketika Kejohanan Remaja Bawah 14 Tahun (B-14) di Kota Tinggi, Johor, pada pertengahan bulan lalu.

Perkembangan itu dimaklumkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh biarpun ibu bapa pemain berkenaan sudah menerima permohonan maaf jurulatih terbabit selain kenyataan dikeluarkan EXCO Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Melaka, V P Shanmugam.

“Ibu bapa dan EXCO kerajaan negeri sudah bersuara tetapi KBS akan meneruskan siasatan bebas kerana ini bukan berkenaan dengan seorang jurulatih atau dua orang pemain tetapi panduan yang akan ditetapkan untuk generasi akan datang dalam sukan.

“Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan saya sepakat dalam hal ini,” kata Hannah menerusi ciapan pada akaun Twitter miliknya.

Semalam, bapa kepada pemain bola tampar B-14 Melaka, Abd Halim Bakar, menganggap tindakan jurulatih terbabit sebagai kejadian biasa dalam latihan selain anaknya, Nur’saidatul Akma juga tidak cedera.

Katanya, beliau juga sudah berbincang dengan bapa kepada seorang lagi pemain yang turut terbabit dan sepakat memaafkan jurulatih berkenaan sambil berharap isu itu selesai serta tidak diperbesarkan oleh mana-mana pihak.

Shanmugam pula dipetik, berkata setakat ini tiada tindakan diambil Majlis Sukan Negeri Melaka (MSN) terhadap jurulatih berkenaan meskipun Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) sudah memutuskan tindakan menggantung guru terbabit dalam semua aktiviti bola tampar kebangsaan.

 

 

Kredit: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *