KUALA LUMPUR: Pelakon Abby Abadi bengang apabila ada pihak sering mengungkit kisah silamnya setiap kali isu curang dalam kalangan artis menjadi tular.
Meluahkan rasa kesal menerusi hantaran video di platform TikTok, Abby mendakwa tindakan itu seperti menabur fitnah kerana apa yang diperkatakan tidak benar.
“Bila ada isu rumah tangga dalam kalangan artis, ada yang curang mesti terkait dan dikaitkan dengan saya.
“Saya buat video untuk seronok-seronok pun orang mengata. Saya okay sahaja kalau cakap yang indah-indah.
“Ini memandai-mandai kata itu dan ini, siap bagi contoh kisah saya, kemudiannya sambung fitnah macam saya pula bersalah,” tulisnya.
Enggan membiarkan prasangka buruk berulang, pelakon drama bersiri GeraK Khas ini menggunakan platform itu untuk menjelaskan situasi sebenar.

Tambahnya, dia lebih selesa mengunci mulut dan memendam rasa dari membiarkan perkara sebenar diketahui pihak tidak sepatutnya.
“Apa yang boleh saya cakap, saya tak bercerita banyak benda. Terlalu banyak saya simpan selama ini.
“Hanya saya dan Allah sahaja yang tahu. Keluarga tak tahu dan arwah emak dan arwah ayah pun tak tahu.
“Adik beradik dan anak-anak pun tak tahu. Kepada makcik-makcik di luar sana, jangan berlagak tahu semua,” tegasnya.
Walaupun tidak menyatakan siapakah bekas suami dimaksudkan, namun dipercayai luahan Abby itu ada kaitan dengan kes perceraiannya dengan pelakon Norman Hakim pada 2009 yang cukup kontroversi ketika itu.
Abby kemudiannya bertemu jodoh dengan Muhammad Faizal Zakaria pada 2015, manakala Norman pula berkahwin kali kedua dengan pelakon Memey Suhaiza pada September 2011 dan dikurniakan tiga cahaya mata.
Biarpun pernah melalui pengalaman pahit dalam rumah tangga, kini Abby kekal bersahabat dengan Norman dan Memey.