Gosip Aliff ganggu fokus Bella

SHAH ALAM: Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah, 28, risau penyebaran berita lama berkaitan kemelut rumah tangganya dan suami, Aliff Aziz yang didakwa disunting semula memberikan kesan kepada keluarga di Sabah dan Singapura.

Kata Bella, dia kecewa sikap sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab memanipulasi kandungan lama yang mana tiada kena mengena dengan isu sedang menjadi bualan ramai ketika ini.

“Saya faham ada segelintir pihak prihatin, ambil berat dan risau jika saya sekali lagi disakiti. Saya hargai semua yang menghantar mesej langsung dalam media sosial.

“Namun, saya kecewa apabila keluar berita tidak benar yang disebarkan dalam Facebook. Ini kerana Facebook adalah platform besar, ada keluarga di Sabah dan Singapura yang membacanya.

“Ibu bapa mentua di Singapura masih bekerja, jadi ramai bertanya kenapa Aliff buat begitu kepada saya.

“Saya tidak marah, tetapi saya harap ia menjadi iktibar. Saya kasihan pada ibu bapa, keluarga dan rakan-rakan. Kasihan apabila orang luar bertanya kepada mereka, sedangkan cerita tidak benar,” katanya kepada BH Online.

Mengulas gosip yang menghimpit Aliff, Bella berharap orang ramai tidak mengeluarkan komen negatif, sebaliknya doakan yang baik-baik buatnya dan Aliff.

“Apabila orang cakap benda tidak baik, saya bimbang ia menjadi satu doa. Sebab percakapan boleh menjadi doa yang dimakbulkan.

“Saya berharap tiada percakapan tidak baik diberikan.

“Aliff berusaha berubah menjadi insan lebih baik. Saya juga mahu berubah bersamanya,” katanya.

Baru-baru ini, nama Aliff kembali menjadi bualan apabila tular klip video memaparkan seorang lelaki sedang berseronok dalam kelab malam bersama wanita.

Bella kecewa sikap sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab memanipulasi kandungan lama yang mana tiada kena mengena dengan isu sedang menjadi bualan ramai ketika ini. - NSTP/Asyraf Hamzah
Bella kecewa sikap sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab memanipulasi kandungan lama yang mana tiada kena mengena dengan isu sedang menjadi bualan ramai ketika ini. – NSTP/Asyraf Hamzah

Diajukan persoalan adakah kontroversi berkaitan rumah tangga memberi kesan kepada persembahannya dalam program realiti, Famili Duo, Bella tidak menafikan.

“Sebagai manusia, sudah tentu terganggu, lebih lagi, saya seorang wanita.

“Saya juga kasihan kepada sepupu saya, Wani Kayrie dalam program ini. Jika saya tidak dapat fokus, ia pastinya mengganggu keserasian kami.

“Jadi, saya selalu tolak tepi isu berkenaan. Saya pergi ‘meeting’ pun bawa anak-anak untuk alih perhatian,” katanya ketika ditemui selepas menjayakan persembahan mingguan dalam program realiti, Famili Duo, malam ini.

Aliff turut hadir memberi sokongan kepadanya.

Kata Bella, dia sangat menghargai usaha Aliff meluangkan masa meskipun sibuk dengan penggambaran.

“Sebenarnya Aliff sibuk dengan penggambaran, setiap hari. Saya berterima kasih kepada pihak produksi kerana memberi pelepasan kepada Aliff untuk datang, malam ini.

“Saya tidak pernah memaksa Aliff datang tengok persembahan saya. Bila Aliff dapat datang, saya sangat gembira.

“Untuk perkara yang terjadi, Aliff mahu saya fokus kepada program Famili Duo. Dia mahu saya membuat persembahan terbaik dan selesaikan tanggungjawab dalam program ini.

“Apa-apa isu berbangkit boleh berbincang kemudian. Jujurnya, kami jarang ada terluang bersama kerana Aliff sedang sibuk dengan penggambaran,

“Esok, Aliff akan ke Terengganu untuk penggambaran. Jadi, apa-apa saya kena fokus kepada program realiti ini,” katanya.

 

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *