KUALA LUMPUR: Tiada sekelumit perasaan benci dalam hati juri tetap program realiti, Famili Duo, Mas Idayu apabila menegur persembahan pasangan sepupu, Sissy Imann dan Naim Daniel, malam kelmarin.
Sissy dilihat mengalirkan air mata atas pentas apabila menerima kritikan selepas persembahan minggu keenam menerusi lagu Jampi apabila gagal menambat hati juri.
Mas Idayu berkata, apa yang dilakukannya atas dasar rasa tanggungjawab terhadap amanah diberikan oleh produksi, malah menjadi hasratnya melihat pasangan sepupu itu lebih berjaya selepas melangkah keluar daripada program realiti terbitan TV3 itu.
“Sejujurnya, sebelum program bermula lagi, saya sudah pukul canang mengatakan Naim dan Sissy adalah peserta berpotensi. Ini kerana Sissy cerdik dalam ilmu muzik, manakala Naim mempunyai kepakaran dari segi persembahan.
“Justeru, saya teruja apabila mendapat tahu Sissy dan Naim akan tampil dengan lagu Jampi yang susunan muzik diubah kepada genre keroncong.
“Namun, hasilnya mengecewakan kerana nyanyian mereka sumbang berbanding muzik yang besar.
“Tiada emak, cikgu atau sesiapa yang akan marah tanpa sebab. Saya tegur kerana saya sayang bakat mereka.
“Saya mahu mereka lebih berjaya apabila keluar daripada program ini nanti,” katanya kepada BH Online.
Dalam pada itu, Mas Idayu menegaskan, teguran itu bukanlah ditujukan kepada Sissy seorang sahaja seperti yang tular.
“Kalau dengar komen, saya tujukan kepada Sissy dan Naim. Ini juga bukan serangan peribadi terhadap Sissy seorang.
“Saya faham perasaan Sissy apabila menangis atas pentas, tetapi niat saya membuat teguran kerana saya perlu bersikap jujur.
“Ini sudah minggu keenam dan saya tidak boleh pejam mata jika ada kesilapan yang tidak sepatutnya dilakukan.
“Setiap peserta program ini sepatutnya bersedia dengan pelbagai kemungkinan kerana mereka sudah dimaklumkan lebih awal oleh produksi saya adalah seorang daripada juri dan karakter saya.
“Jika ambil positif apa yang saya katakan dan terus kekal menyertai program realiti minggu depan, dia adalah seorang yang profesional dan dahsyat.
“Tetapi, jika memutuskan menarik tarik diri, Sissy juga yang rugi. Apapun, saya serahkan pada produksi keputusan yang bakal Sissy ambil,” ujar penyanyi Cinta 100% ini.

Mengulas kecaman diterima termasuk rakan artis yang menganggap cara tegurannya keterlaluan, penyanyi yang mendapat jolokan Ratu Gelek 45 darjah itu berkata, dia hanya menjadi diri sendiri.
“Orang luar nak cakap apapun, terpulanglah. Sebagai juri, saya hanya mahu anak-anak saya menang dan keluar menjadi penyanyi lebih bagus.
“Lagipun, ini memang karakter saya sebagai juri. Saya tidak boleh menjadi seperti orang lain. Benda ini pun berlaku secara spontan dan bukannya dibuat-buat.
“Saya ada juga mendengar orang luar menganggap ini kandungan semata-mata untuk sensasi. Itu juga tidak benar,” tegasnya.
Menerusi perkongsian dalam Instagram (IG), Sissy atau nama sebenarnya, Sissy Imann Mohammad Kamil meluahkan perasaan kecewa apabila gagal memberikan persembahan terbaik seperti diharapkan.
Dengan kegagalan dan kritikan pedas yang diberi Mas Idayu membuatkannya terfikir apakah impian untuk terus berada di bidang nyanyian sebagai keputusan tepat atau sebaliknya.
“Muzik sering menjadi cinta pertama saya. Dan betul, dalam seni, sedar diri dan sedar ruang itu perlu. Mungkin saya kurang atau tidak langsung menyedarinya.
“Saya tak dapat bayangkan diri ini meletakkan noktah dalam bidang muzik, tetapi malam ini (kelmarin) perasaan itu bertukar sebaliknya,
“Sesuatu yang saya cinta dan pelajari sejak berusia lima tahun kini tidak lagi mencintai saya. Saya juga tidak sangka kecintaan saya berakhir
dengan melukakan hati orang ramai menerusi nyanyian yang sangat teruk,” luahnya.
Usaha mendapatkan penjelasan lanjut Sissy berhubung kontroversi itu gagal apabila mesej serta panggilan tidak berjawab.
Kredit : Berita Harian