Biar saya dimaki, asalkan netizen tak ganggu peserta – Mas Idayu

KUALA LUMPUR: Juri tetap program Famili Duo, Mas Idayu tidak sesekali mempedulikan maki hamun netizen selepas memberikan komen pedas terhadap pasangan sepupu, Naim Daniel dan Sissy Imann pada minggu keenam program realiti, Famili Duo.

Mas Idayu berkata, dia lebih rela berdiam diri dan dipersalahkan netizen daripada pesertanya diganggu.

“Saya mengalukan netizen memaki hamun saya hingga ada yang memanggil bodoh dan pelbagai kata kesat lain, asalkan jangan ganggu peserta program Famili Duo.

“Sebab itu saya tak mahu bersuara langsung sejak awal kerana tidak mahu peserta diganggu.

“Malah, saya turut menerima mesej peserta yang mengatakan saya melebihkan Sissy dan Naim berbanding mereka.

“Itu pun saya diamkan sahaja dan tidak membalas mesej kerana orang boleh nampak saya memberikan teguran lebih kepada mereka berbanding peserta lain,” katanya kepada BH Online.

Tambah Mas Idayu, dia tidak mahu tumpuan peserta terganggu disebabkan kritikan netizen.

Mengulas tidakkah berkecil hati dengan tindakan Sissy yang berdiam diri sehingga membiarkan dirinya dikecam.

Sissy dan Naim mendapat tempat keempat dan membawa pulang hadiah bernilai RM10,000 menerusi konsert akhir Famili Duo, semalam. - NSTP/Saifullizan Tamadi.
Sissy dan Naim mendapat tempat keempat dan membawa pulang hadiah bernilai RM10,000 menerusi konsert akhir Famili Duo, semalam. – NSTP/Saifullizan Tamadi.

Mas Idayu mengakui, dia tidak terusik dengan perbuatan penyanyi itu.

“Saya tidak terluka dengan tindakan Sissy yang menangis teresak atas pentas. Sebenarnya, apa yang saya boleh nampak, Sissy menangis bukan sebab komen saya.

“Sissy tidak marah saya, tetapi apa saya perhatikan dia menangis selepas teguran Ajai kerana mungkin tegurannya lembut menyebabkan hatinya terusik.

“Saya nampak Sissy sebenarnya lebih kecewa dengan diri sendiri, tetapi disebabkan berdiam diri, netizen hentam saya.

“Sepanjang seminggu selepas insiden saya dimaki dengan perkataan tidak sepatutnya, tetapi saya tak nak jawab apa-apa.

“Saya mahu peserta fokus sehingga perjuangan mereka tamat di pentas akhir Famili Duo, itu yang saya harapkan. Makilah saya dahulu,” katanya.

Ditanya tindakan tidak memberikan komen kepada Sissy dan Naim pada minggu separuh akhir, Mas Idayu mempunyai alasan tersendiri.

“Saya mahu mereka kuat seperti orang lain. Saya nak Sissy dan Naim minta sendiri saya komen kerana saya nak mereka kental macam peserta lain.

“Sissy dan Naim bijak dalam muzik, cuma mungkin ada kesilapan pada minggu keenam.

“Kami tidak pernah kata persembahan mereka tidak bagus, hanya pada minggu keenam sahaja. Saya tak rasa apa-apa apabila dihamburkan kejian kerana saya kental.

“Saya tak peduli, jika orang lain hendak marah, marahlah saya, bukan peserta,” katanya.

Menerusi Famili Duo akhir, Sissy dan Naim mendapat tempat keempat dan membawa pulang hadiah bernilai RM10,000, semalam.

 

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *