KUALA LUMPUR: Pemain hoki wanita negara, Hanis Nadiah Onn mahu memberi tumpuan kepada kempen Liga Hoki Wanita Malaysia (MHL) 2023 dan enggan terlalu tertekan dengan isu penggantungan dihadapinya.
Hanis yang didapati bersalah kerana mengeluarkan ciapan yang mengguris hati sesetengah pihak berhubung satu konsert di Kuala Lumpur baru-baru ini berkata, dia sedar akan kesalahannya selain menjadikan peristiwa itu sebagai satu pengajaran.
“Saya terima dengan hati terbuka. Sekarang ini, saya akan fokus kepada aksi liga. Segala masalah saya akan letak tepi kerana mahu merebut tiga gelaran.
“Setakat ini sudah dapat satu,” kata pemain berusia 27 tahun yang mewakili pasukan Negeri Sembilan itu di MHL.