Runding berasingan, proses JKP antara Syamsul Yusof, Puteri Sarah buntu

KUALA LUMPUR : Sesi perdamaian antara pengarah sensasi, Syamsul Yusof, 39, dan isteri pertama, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, melalui Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) di sini, pagi tadi, menemui jalan buntu.

Puteri Sarah mendakwa usaha berdamai dengan Syamsul tidak akan terjadi, sebaliknya, dia nekad dengan keputusan bercerai.

Malah, Puteri Sarah mengaku enggan bersemuka dengan Syamsul, sebaliknya, meminta sesi itu dilakukan dalam bilik berasingan.

“Saya memang tak hendak berjumpa dan berdamai dengan dia (Syamsul). Keputusan saya sejak dahulu lagi hendak bercerai. Cukuplah, saya sudah penat, saya minta dilepaskan,” katanya ditemui selepas sesi JKP berakhir, tengah hari tadi.

Puteri Sarah berkata, semua perkara yang dinyatakan dalam proses JKP akan dibawa kepada sebutan kedua di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, bulan depan.

Kalau dia (Syamsul) tak hendak juga (lafazkan cerai), saya akan gunakan hakam,” katanya yang ditemani adik perempuan Puteri Sofea pada sesi berkenaan.

Puteri Sarah berkata, dia sudah letih dengan masalah ditanggung selama beberapa tahun.

“Saya harap cepat-cepat ‘dilepaskan’. Jika Syamsul enggan ceraikan, proses seterusnya adalah melantik hakam.

“Saya tidak mahu berbaik atau kembali ke pangkuannya… Saya hanya mahu bercerai.

“Kalau betul dia masih sayangkan saya, kenapa dia tidak jenguk saya di hospital tempoh hari atau berjumpa anak-anak?

“Dia ajak saya berjumpa selepas saya beritahu disekat daripada WhatsApp. Selepas itu, memang tiada apa-apa,” katanya.

Sementara itu, HM Online melaporkan, Syamsul kecewa harapan untuk bertentang mata dengan Puteri Sarah Liyana melalui proses JKP, tidak kesampaian.

Syamsul yang diwakili sepupunya, Muhammad Nazri bagaimanapun menghormati proses yang dikendalikan hampir dua jam itu walaupun dibuat secara berasingan hingga menyukarkan dirinya mencari jalan perdamaian.

“Melalui proses JKP pagi ini, saya harap dapat berjumpa Sarah. Tetapi malangnya proses itu dijalankan secara berasingan. Saya akur dan harap masalah rumah tangga kami ini dapat diselesaikan secara baik.

“Saya mahu Sarah terima poligami ini. Saya ingin berbincang mengenai giliran untuk bermalam bersama isteri-isteri. Kalau dia tidak mahu, saya tetap ingin berbincang.

“Saya sangka dapat bersemuka dengan dia, tetapi, proses JKP bukan sebegitu. Jadi, saya agak kecewa, namun, hanya ikut proses mahkamah dan mampu buat yang terbaik,” katanya ketika ditemui selepas proses JKP berakhir.

Syamsul berkata, penyelesaian untuk berpisah bukan suatu keputusan yang mudah, sebaliknya, banyak faktor lain perlu difikirkan.

“Orang selalu cakap kenapa saya enggan ceraikan Sarah. Pertama sekali, kami adalah pasangan suami isteri dan lebih tahu urusan rumah tangga dan hal ‘dalam kain’.

“Perceraian bukan hal yang mudah dilakukan. Hakikatnya, ramai orang yang mengalami masalah besar selepas bercerai seperti tuntutan hak penjagaan anak, nafkah dan macam-macam lagi.

“Jadi, sebab itulah saya hendak sangat bertemu Sarah untuk berbincang dan menyelesaikan masalah ini dengan baik dan harmoni,” katanya.

Syamsul memberitahu, dia akan menimbang permintaan Sarah untuk dilepaskan jika isteri pertamanya itu sedia bersemuka.

Pada 7 Mac lalu, Syamsul dan Puteri Sarah diperintahkan Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur supaya melantik wakil JKP dalam kes permohonan perceraian mereka.

Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas memerintahkan demikian selepas kes itu disebut di hadapannya dengan dihadiri kedua-dua pihak.

JKP merangkumi anggota keluarga yang rapat dengan pasangan dan mereka dilantik bagi memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian.

Sebelum ini, Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan penceraian di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 pada 16 Januari lalu.

Puteri Sarah dilaporkan nekad memfailkan tuntutan cerai selepas krisis rumah tangga sejak empat tahun lalu tidak menemui jalan terbaik, selain enggan bermadu selepas Syamsul membuat pengakuan bernikah dengan Ira Kazar sebagai isteri kedua, awal tahun ini.

Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan dikurniakan dua cahaya mata Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4.

Syamsul dikerumuni pemberita sebaik sesi JKP yang berlangsung dua jam, tengah hari tadi, berakhir. Foto NSTP Hairul Anuar Rahim
Syamsul dikerumuni pemberita sebaik sesi JKP yang berlangsung dua jam, tengah hari tadi, berakhir. Foto NSTP Hairul Anuar Rahim

 

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *