Kualiti perkhidmatan bantu wujud produk pelancongan menarik

Tahun Melawat Malaysia ditetapkan pada 2025 dengan sasaran ketibaan 23.5 juta pelancong antarabangsa dan unjuran pendapatan hingga RM76.8 bilion diharap dapat menghasilkan daya lonjakan dalam industri itu.

Kita perlu mengambil kira persaingan daripada destinasi pelancongan di rantau Asia Pasifik seperti Thailand, Indonesia, Singapura dan Vietnam yang turut menawarkan tarikan pelancongan.

Oleh itu, langkah proaktif perlu dilakukan kerajaan terutama dalam promosi, kerjasama dengan industri, produk, pusat beli-belah, insentif dan infrastruktur pelancongan.

Dalam konteks promosi, usaha dalam skala agresif perlu dilakukan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) seperti pelancaran pelbagai aktiviti di dalam dan luar negara serta memaksimumkan kaedah dalam talian dan media sosial.

Promosi efektif dapat membantu mempromosikan Malaysia sebagai pusat destinasi pelancongan menarik tetapi fokus perlu diberikan kepada maklumat pelancongan secara kreatif dalam bentuk digital.

Kerjasama dengan pemegang taruh, iaitu penggerak industri pelancongan sangat penting untuk mewujudkan produk baharu pelancongan menarik yang dapat menawarkan pengalaman unik kepada pelancong.

Dalam Belanjawan 2023, RM115 juta geran padanan diwujudkan antaranya untuk menggalakkan aktiviti promosi pelancongan dan penganjuran acara besar seperti sukan antarabangsa dan kebudayaan.

Malaysia juga berpotensi menjadi antara tarikan pusat membeli-belah popular kepada pelancong yang dapat meningkatkan ekonomi negara. Menurut Laporan Tahunan Global Retail Index 2020, Malaysia berada di kedudukan ke-24 sebagai destinasi membeli-belah utama di dunia.

Pelancong bukan sahaja tertarik dengan pusat membeli-belah moden, bahkan boleh menikmati pengalaman membeli-belah berbeza seperti pasar malam, pasar tani dan pasar karat seperti pasar malam di Jonker Walk di Melaka menawarkan barangan unik serta tradisional seperti pakaian tradisional, makanan dan cenderahati.

Manfaat pelbagai insentif

Bagaimanapun, isu kualiti perkhidmatan perlu diatasi untuk menarik lebih ramai pelancong. Pengusaha perlu memanfaatkan pelbagai insentif disediakan kerajaan untuk membantu sektor itu berkembang maju.

Insentif seperti pengurangan cukai untuk industri pelancongan dan bantuan kewangan untuk industri pelancongan dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sewajarnya digunakan untuk meningkat kualiti mereka dalam memberi perkhidmatan terbaik, seterusnya meningkatkan jumlah pelancong ke negara ini.

Pada masa sama, terdapat cabaran infrastruktur yang kurang memuaskan seperti kemudahan pengangkutan dan penginapan yang perlu diatasi terutama membabitkan destinasi pelancongan di kawasan pedalaman memerlukan jalan selesa serta mudah kepada pelancong.

Penyediaan kemudahan asas pelancongan seperti pengangkutan dan kemudahan serta pembinaan pusat pelancongan perlu ditambah baik. Dalam Belanjawan 2023, kerajaan akan melaksanakan projek menyelesaikan kesesakan jalan raya menjejaskan beberapa lokasi tumpuan pelancong.

Contohnya, pembinaan jalan baharu dari Habu ke Tanah Rata, Cameron Highlands sebanyak RM480 juta; menaik taraf Jalan Tun Hamzah ke Persimpangan Semabok Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) di Melaka (RM300 juta) dan membina jalan serta jambatan Sungai Sepang bagi menghubungkan Bukit Pelandok, Port Dickson dan Sungai Pelek, Sepang (RM160 juta).

Kerajaan juga akan menambah baik Senai Desaru Expressway dan menaik taraf Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dengan kos RM525 juta secara berfasa, sekali gus dapat membantu memastikan keterhubungan destinasi pelancongan.

Bagaimanapun, tumpuan perlu diberikan dalam meningkatkan kemudahan pengangkutan awam di beberapa destinasi pelancongan. Kerajaan perlu memperkenalkan lebih banyak bas atau van pelancongan, selain melaksanakan kemudahan pengangkutan dalam bandar seperti sistem rel metro dan tren di beberapa kawasan.

Usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan pelancongan dan menaik taraf kemudahan infrastruktur itu dapat membantu dalam menyediakan produk pelancongan yang menarik hingga berupaya menarik lebih ramai pelancong.

Penulis adalah Ketua Penyelidik Pengurusan Teknologi Pengeluaran, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Kredit: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *