Saingan sengit artis senior, baharu ABPBH 35

KUALA LUMPUR: Serentak majlis pelancaran, undian bagi pencalonan awal acara berprestij, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 sudah dibuka kepada umum, Jumaat lalu.

Majlis pelancaran ABPBH 35 turut menandakan bermulanya proses pengundian Top 20 untuk 12 kategori utama, di samping tujuh kategori Ekstra! secara dalam talian.

Untuk edisi ke-35 ini, penganjur menetapkan pencalonan terbuka kepada penggiat seni merangkumi personaliti, selebriti, pelakon, penyanyi, tenaga kreatif dan sebagainya yang terbabit secara aktif serta konsisten dalam bidang masing-masing.

Calon individu, gandingan atau berkumpulan mengikut kategori tersenarai perlu menghasilkan sekurang-kurangnya satu produk diterbitkan antara tempoh Januari hingga Disember 2021 serta Januari hingga Disember 2022, yang menepati penilaian Jawatankuasa Penganjur ABPBH 35 dan Lembaga Juri ABPBH 35.

Menyemak semula senarai pencalonan, pemenang Bintang Paling Popular ABPBH 34, Janna Nick mendahului hampir 200 calon lain apabila menerima enam pencalonan untuk edisi kali ini.

Nama pelakon, penyanyi, pengacara dan pengarah ini tersenarai dalam kategori Penyanyi Wanita Popular, Aktres Filem Popular, Aktres TV Popular, Pengacara TV Popular, Couple Drama Popular dan Lagu Paling Boom menerusi lagu Gatal.

Malah, drama lakonannya bersama Andi Bernadee berjudul Melastik Ke Hatimu turut tercalon dalam kategori Drama Popular.

Mengikuti rapat Janna adalah penyanyi hip hop remaja, Bunga apabila menerima lima pencalonan menerusi kategori BBNU Wanita Popular, Penyanyi Wanita Popular dan Lagu Paling Boom.

Nama penyanyi Intan Payung dan Buai ini turut mendapat dua pencalonan lain dalam kategori sama iaitu Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular yang menyaksikannya bergandingan dengan penyanyi senior, Noraniza Idris dan Siti Nordiana.

Jika ada yang beranggapan ABPBH adalah acara anugerah yang hanya memberi kelebihan kepada artis muda, sila buang jauh-jauh kerana artis senior dan bertaraf legenda turut mempunyai peluang sama rata, sekali gus membuktikan kekal relevan.

Buktinya, aktor dan pengarah hebat, Datuk Rahim Razali mampu berdiri sebaris dengan pelakon lelaki lain yang lebih muda serta ‘mesra’ media sosial apabila namanya membolosi senarai awal bagi kategori Aktor Filem Popular apabila mempamerkan lakonan mantap menerusi filem Spilt Gravy/Ke Mana Tumpahnya Kuah.

Artis senior lain turut berada dalam senarai pencalonan awal ABPBH 35 adalah Jalil Hamid yang dicalonkan dalam kategori Aktor TV Popular, manakala Khatijah Tan dan Normah Damanhuri bagi kategori Artis Komedi Popular.

Datuk Rosyam Nor pula memberi saingan dalam kategori Pengacara TV Popular.

Calon tertua, Rahim Razali memberi saing kepada pelakon muda menerusi kategori Aktor TV Popular, manakala Rosyam membolosi kategori Pengacara TV Popular.
Calon tertua, Rahim Razali memberi saing kepada pelakon muda menerusi kategori Aktor TV Popular, manakala Rosyam membolosi kategori Pengacara TV Popular.

Penyanyi rock ‘otai’ Datuk Hattan turut berjaya menempatkan diri dalam senarai pencalonan awal menerusi kategori Couple Filem Popular bersama Ahirine Ahirudin menerusi gandingan dalam filem Gadis Jolobu The Movie.

Untuk kategori Penyanyi Lelaki Popular, penyanyi bersuara lantang, Anuar Zain masih belum hilang taringnya apabila turut mendapat pencalonan dalam kategori cukup sengit itu.

Pencalonan ini membuktikan usia bukannya menjadi ukuran atau penentu kejayaan, tetapi produk serta kualiti kerja yang dihasilkan.

Untuk edisi kali ini, pelakon filem Anak Rimau The Movie, Idan Aedan, 18, menjadi calon termuda yang berjaya menembusi senarai awal dalam dua kategori utama iaitu Aktor Filem Popular dan BBNU Lelaki Popular.

Bagi kategori Xtra, calon paling termuda adalah anak kepada pelakon Sharnaaz Ahmad iaitu Jebat Jayden, 5, menerusi kategori Video Viral Popular.

Turut melakar sejarah dalam senarai pencalonan awal ABPBH 35 adalah apabila karakter animasi, Cik Yah Official turut berjaya menembusi kategori Content Creator Popular dan bersaing dengan individu popular lain.

Kategori lain yang turut memberi saingan sengit adalah Drama Popular apabila kebanyakan produk tersenarai pernah ‘trending’ ketika ia ditayangkan, selain mendapat rating tertinggi.

Antaranya, Takdir Yang Tertulis, 7 Hari Mencintaiku 3, Risik Pada Hati, Suamiku Lelaki Pendosa, Rampas Cintaku, Kisah Cinta Kita dan Melur Untuk Firdaus yang popularitinya berjaya menawan peminat di Indonesia.

Proses pengundian Top 20 secara dalam talian membabitkan 12 kategori utama dan tujuh kategori Ekstra! sudah dibuka dengan melayari www.abpbh.com.my hingga 11 Jun depan.

Undian boleh dilakukan sama ada secara percuma ataupun pakej langganan BH digital.

 

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *