Aaron, Nadiya martabatkan reputasi artis senior

KUALA LUMPUR: Jika ada beranggapan Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) memberi kelebihan kepada bintang muda untuk menjulang trofi, sila buang andaian itu jauh-jauh.

Lebih tiga dekad penganjurannya, usia bukanlah penentu kepada kemenangan kerana ABPBH 35 yang berlangsung di Panggung Sari Istana Budaya pada Jumaat lalu membuktikan artis senior juga mampu memberi saingan.

Sebelum ini, ramai artis senior pernah menggenggam trofi kemenangan. Antaranya, Norlia Ghani, Datuk Rosyam Nor dan ramai lagi.

Terbaharu, artis serba boleh, Bell Ngasri, 43, yang sudah 37 tahun berkecimpung dalam bidang seni dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular ABPBH 35, sekali gus menewaskan pencabar terdekatnya yang usia masih hijau dalam industri seni.

Artis senior yang turut menyerlah pada malam kemuncak ABPBH 35 termasuklah pasangan pelakon, Datuk Aaron Aziz dan Nadiya Nisaa yang diangkat sebagai Couple Filem Popular menerusi kategori Ekstra!, sekali gus membuktikan artis ‘otai’ masih belum hilang sengatnya.

Mengulas kemenangannya, Aaron mengakui, dia tidak menjangka akan merangkul trofi itu kerana berasakan agak berusia berbanding finalis lain dalam kategori itu.

“Kemenangan ini di luar jangkaan, ini menunjukkan peminat drama bersiri, Adam dan Hawa masih bertahan hingga hari ini.

“Kami bersyukur populariti drama Adam dan Hawa masih bertahan, walaupun sudah berusia 10 tahun. Kejayaan ini juga hasil kerja berpasukan antara penerbit, kru balik tabir dan pelakon.

“Meskipun usia sudah memasuki ‘senja’, tetapi trofi memberi semangat untuk saya memberikan yang lebih baik.

“Selepas ini, jika ada tawaran membabitkan projek drama Adam dan Hawa, saya pasti akan melakukannya,” ujarnya yang memenangi trofi itu bersama Nadiya menerusi filem Dekatnya Cinta.

Bagi Aaron dan Nadiya, usia bukanlah penentu kerana apa yang lebih penting, komitmen dan kualiti kerja. - NSTP/Rohanis Shukri
Bagi Aaron dan Nadiya, usia bukanlah penentu kerana apa yang lebih penting, komitmen dan kualiti kerja. – NSTP/Rohanis Shukri

 

Filem arahan Feroz Kader itu adalah kesinambungan drama bersiri yang pernah disiarkan di kaca televisyen (TV) sedekad lalu.

Dengan kemenangan itu, pasangan itu berjaya menewaskan nama besar seperti Farid Kamil & Ahirine Ahirudin (Rempit 2), Naqiu & Elizabeth Tan (Mat Bond Malaysia), Zul Ariffin & Azira Shafinaz (Talbis Iblis) dan Zizan Razak & Elizabeth Tan (Abang Long Fadil 3).

Sementara itu, Nadiya yang memegang watak Ain Hawani berkongsi rasa teruja dengan kemenangan pertama pada acara anugerah berprestij itu.

Terharu pengiktirafan dan penghargaan diberikan, pelakon filem Imaginur itu mendedikasikan trofi kepada peminat drama bersiri berkenaan.

“Saya beruntung kerana ini kali pertama saya terima trofi anugerah ini. Sebagai pelakon, bila produk dihasilkan popular dan masih bertahan, saya anggap sebagai rezeki.

“Bukan mudah untuk sesebuah karya menjadi bualan. Justeru, trofi ini saya dedikasikan kepada peminat drama Adam dan Hawa yang terus menyokong kami sejak dahulu hinggalah sekarang,” luah Nadiya.

Mengulas kejayaan dilihat memartabatkan reputasi artis senior, pemilik nama lengkap Nadiyatul Nisaa Kamaruddin, 38, mengakui, usia bukanlah penentu kerana apa yang penting komitmen serta kualiti kerja.

“Saya selalu percaya bila melakukan sesuatu tugasan dengan niat baik dan sepenuh jiwa, tak kisahlah sama ada artis baharu atau lama, insya-Allah karya itu akan menjadi baik serta kekal sampai sekarang.

“Dan semua itu tidak akan berlaku tanpa sokongan penerbit, pengarah, pelakon dan juga kru produksi. Ini semua adalah hasil kerja berpasukan,” ujar pelakon drama bersiri, Jaga Aku Selamanya ini.

Bergenre drama romantik, Dekatnya Cinta mengisahkan pasangan suami isteri, Adam Mukriz dan Ain Hawani yang berdepan konflik rumah tangga, susulan perasaan cemburu disebabkan orang ketiga.

Selain Aaron dan Nadiya, filem terbitan Global Station ini turut menampilkan lakonan Farah Nabilah, Fazley Yaakob dan Nadya Syahera.

 

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *