KUALA LUMPUR: Skuad hoki negara terpaksa menunggu untuk mengesahkan tiket ke separuh akhir Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2023 selepas dibelasah India 0-5, sebentar tadi.
Keputusan itu menyaksikan rekod bersih Malaysian Tigers yang berjaya meraih dua kemenangan ke atas Pakistan dan China sebelum ini turut lebur.
Skuad bimbingan Arul Selvaraj jelas bergelut dalam aksi di Chennai, India itu sebelum tuan rumah membuka tirai jaringan menerusi gol padang Karthi Selvam pada minit ke-15.
India yang menghuni ranking keempat dunia terus memberi tekanan apabila meledak dua lagi gol menerusi pukulan sudut penalti Hardik Singh dan Harmanpreet Singh pada minit ke-32 serta 42.
Hasrat skuad negara untuk bangkit bertambah sukar apabila India melebarkan jurang dengan dua gol dalam tempoh seminit di penghujung permainan.
Gurjant Singh menyumbang gol keempat India pada minit ke-53 disusuli Jugraj Singh melengkapkan kemenangan bergaya India dengan gol kelima seminit berselang.
Bagaimanapun, skuad negara masih berpeluang merebut slot ke separuh akhir sekiranya berjaya meraih kemenangan ke atas Jepun, petang ini.
Kredit: Berita Harian