Ulas isu poligami, Nabila Huda pertahan hak wanita

KUALA LUMPUR: Isu curang atau poligami yang hangat diperkatakan dalam media sosial sejak akhir-akhir ini, mendorong pelakon Nabila Huda, 39, tampil bersuara mempertahankan hak wanita.

Menerusi entri di X (Twitter), bintang filem Rahsia ini menyelar tindakan segelintir suami yang didakwa menggunakan alasan poligami sebagai ‘modus operandi’ membenarkan perbuatan curang.

“Kalau masih lagi ada rasa bernafsu tengok perempuan lain daripada pasangan sendiri, lebih baik jangan kahwin dahulu.

“Berseronoklah dahulu sepuas-puasnya! Kalau rasa sudah betul-betul bersedia hendak jadi seorang suami setia pada satu-satunya isteri, baru kahwin. Semudah itu,” luahnya.

Nabila berkata, tiada dalam kamus mana-mana wanita untuk berkongsi pasangan hidup dengan orang lain.

“Untuk makluman, kami (wanita) tidak berkongsi. Tak ada dalam kamus hidup kami nak kena berkongsi orang yang kami bersumpah untuk cinta sampai mati dengan wanita lain.

“Jika anda milik saya, maka saya punya, anda hanya untuk saya. Kami hanya perlukan seorang lelaki dan mahu menjadi hanya seorang wanita yang dimilikinya,” tulisnya.

Sejak beberapa hari lalu, tular dalam pelbagai platform media sosial mengenai kecurangan seorang pempengaruh yang berpoligami biarpun pernah berjanji untuk setia dengan isteri pertamanya.

Tindakan itu meraih kecaman dan maklum balas daripada pelayar media sosial termasuk dalam kalangan selebriti.

Ada yang berpendapat lelaki yang curang terhadap isteri tidak wajar menggunakan alasan sunnah berpoligami termasuk isteri pertama merestui perkahwinan keduanya.

 

Kredit: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *