SASARAN mencapai status negara maju bukan semata-mata dengan memiliki bangunan pencakar langit. Sebaliknya seperti yang dapat kita amati ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berulang kali menegaskan bukan menjadi keutamaannya membina mercu tanda baharu seperti giat dilakukan pimpinan terdahulu.
Anwar bertekad mewujudkan kota contoh dari segi kebersihan, keindahan dan ruang kepada golongan peniaga serta penjaja yang beliau percaya golongan itu menjadi nadi pembangunan ekonomi negara.
Oleh itu, Perdana Menteri mengarahkan tindakan diambil untuk membantu rakyat, terutama di bandar besar kerana masih ramai hidup daif, selain nasib peniaga kecil dan penjaja. Namun segala perancangan tetap mesti mematuhi prinsip tata kelola.
Memimpin Malaysia dengan rakyat pelbagai agama, kaum dan budaya, kerajaan menjamin untuk tidak mengabaikan kebajikan golongan minoriti kerana slogan Malaysia MADANI menekankan keterangkuman dan urus tadbir baik, sekali gus memastikan tiada komuniti dibiarkan terpinggir.
Berbaki beberapa bulan lagi sebelum usia Kerajaan Perpaduan mencapai setahun, ada inisiatif lain bersifat ‘beri joran bukan ikan’ sedang dilaksanakan kerajaan dalam usaha membanteras miskin tegar, selain menyalurkan bantuan wang tunai menerusi Skim Tunai Rahmah (STR).
Antaranya, Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dengan kaedah menambah pendapatan rakyat, memperkenalkan tiga kategori, iaitu usahawan tani, usahawan makanan dan operator perkhidmatan.
IPR menjadi strategi serampang dua mata untuk menambah pendapatan keluarga miskin tegar dan B40, sekali gus berusaha menyelesaikan masalah ekonomi harian.
Dengan memanfaatkan platform yang boleh diceburi sesiapa termasuk suri rumah, ia mampu mengubah hidup dengan menambah pendapatan peserta. Dalam sebulan, ada memperoleh pendapatan sebanyak RM3,000 hingga RM4,000 melalui penyertaan mesin layan diri IPR.
Pelaksanaan Dasar Gaji Progresif antara usaha produktif membantu Malaysia muncul negara berdaya saing dan mencapai status negara berpendapatan tinggi, sejajar kerangka Ekonomi MADANI.
Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, dasar itu dijangka dilaksana pada April atau Mei tahun depan dengan peruntukan kewangannya akan dimasukkan dalam Belanjawan 2024 dibentangkan Oktober ini.
Bantu tingkat pendapatan rakyat
Memetik kenyataan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani, pelaksanaan gaji progresif antara mekanisme dapat membantu dalam mengurangkan kesenjangan pendapatan.
Mengikut data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), 37.4 peratus guna tenaga tidak penuh berdasarkan pendidikan, manakala 1.91 juta pekerja kategori itu pula berdasarkan kemahiran.
Felo Kanan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman, ketika memuji naratif Ekonomi MADANI kerana bersifat menyeluruh, beliau mengingatkan keberhasilannya amat bergantung pada pelaksanaan strategi.
Ahmad Yazid menyarankan pelan tindakan disusuli projek boleh memberi impak segera kepada rakyat, komuniti perniagaan dan pelaburan dalam usaha mengurangkan kesenjangan pendapatan serta ekonomi antara negeri.
Oleh itu, kerajaan perlu menumpukan pembangunan di negeri di bawah pendapatan nasional yang secara tidak langsung akan meningkatkan serta mewujudkan peluang pekerjaan dan merancakkan ekonomi setempat.
Kerajaan perlu lebih berani menggunakan kuasa melalui pelbagai agensi dan melakukan reformasi dasar supaya kesenjangan dapat segera dikecilkan melalui pelbagai program.
Pada masa sama, ketirisan ekoran Ali Baba mengakibatkan kerugian negara perlu segera ditangani kerana wang itu boleh digunakan untuk membina infrastruktur asas atau disalur kepada rakyat.
Seperti disarankan pakar ekonomi yang juga Felo Kehormat Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Datuk Dr Madelina Berma, perbezaan politik perlu diketepikan dan semua pihak mesti mula menumpukan pembinaan infrastruktur asas di negeri mundur dari segi pembinaan, sebagai usaha menarik pelaburan ke negeri terbabit.
Hanya kemahuan politik disifatkan senjata ampuh mengatasi isu jurang pendapatan, selain mampu menoktahkan kemiskinan tegar yang sudah lama berakar di negara ini.
Penulis adalah Wartawan BH
Kredit : Berita Harian