KUALA LUMPUR : Berbulan menjalani penggambaran filem aksi The Original Gangster (TOG) arahan sutradara sensasi, Syamsul Yusof, banyak pengalaman ditimba Beto Kusyairy, yang disifatkan antara cabaran yang perlu dihadapi sebagai anak seni.
Seperti pernah dinyatakan Beto dalam temu bual sebelum ini, kudrat yang tidak lagi segagah dahulu disebabkan faktor usia, menyebabkan babak aksi yang dilakukan mengundang padah, terutama jika tidak membuat latihan fizikal mencukupi.
Berkongsi pengalaman membintangi TOG yang menampilkan ramai pelakon hebat itu, Beto atau nama sebenar, Nurkusyairy Zakuan Osman, 43, memberitahu, dia mengalami kecederaan yang agak serius hingga terpaksa dimasukkan ke hospital dalam menyiapkan naskhah berkenaan.
“Saya baru selesai menjalani penggambaran filem TOG. Insya-Allah, filem ini akan masuk panggung wayang pada 2024. Tarikh sebenar tayangan, saya tidak pasti.
“Tidak dinafikan, berlakon dalam naskhah ini memang penat. Letih sebab filem ini memang tinggi dari aspek tuntutan fizikalnya.
“Filem ini bergenre aksi drama. Apabila kita sebut mengenai filem aksi, banyak babak pertarungan, letupan dan adegan tembak-menembak.
“Ini kali kedua saya bekerja dengan Syamsul dan dia sangat teliti. Dia juga tahu apa yang dimahukan daripada pelakonnya.
“Disebabkan saya pernah berlakon di bawah arahannya, saya sudah tahu kehendaknya.

“Biasalah, buat filem aksi, pasti akan ada kecederaan berlaku. Ini membuatkan saya terpaksa masuk hospital,” katanya kepada BH Online.
Bagaimanapun, Beto enggan mendedahkan butiran terperinci kecederaan dialaminya itu.
“Tunggulah nanti apabila filem ini hendak ditayangkan, barulah saya berkongsi kecederaan saya itu. Saya hendak bagi penonton berdebar dan tertanya-tanya (ketawa).
“Apa yang boleh saya katakan, kecederaan memang serius. Lebih kurang sama dengan kecederaan yang pernah saya alami ketika berlakon filem Halimun,” kata pemenang trofi Aktor Filem Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 ini.
Ketika ini, Beto sedang menanti tayangan filem lakonannya, magiK yang menyaksikan dia memegang watak bapa kepada anak istimewa yang mempunyai kelebihan berinteraksi dengan kelip-kelip.
Akui pelakon yang membuat kemunculan pertama menerusi filem Syaitan pada 2007, dia tertarik dengan naskhah arahan Yasu Tanaka itu disebabkan skrip. Baginya, genre filem magiK agak berbeza dengan apa yang pernah dilakonkan.
“Biarpun filem ini banyak bermain dengan emosi, namun, tidaklah seberat Imaginur. Saya tertarik dengan naskhah ini kerana skripnya kena jiwa dengan jiwa saya.
“Apa yang menarik, konsepnya sama seperti filem Disney yang mempunyai elemen fantasi dan menyeronokkan. Justeru, sangat sesuai untuk tontonan keluarga tanpa mengira batasan usia. Kanak-kanak pun boleh menonton sama,” katanya ketika ditemui pada majlis makan malam bersama penaja utama ABPBH 35, Fellera Skin di sebuah restoran terkemuka di ibu negara, baru-baru ini.
Pada majlis itu, Beto dan pemenang trofi Pengacara TV Popular, Elly Mazlein menerima hadiah pakej umrah VVIP sumbangan Fellera Skin.
Pengumuman berbentuk kejutan itu dibuat pengasas produk berkenaan, Syarifah Kyra Muhsin.
Sementara itu, mengulas status Facebook (FB) dimuat naik yang seolah-olah menggambarkan ketidakpuasan hatinya terhadap isu atau kontroversi yang tidak boleh dibicarakan secara terbuka, baru-baru ini, Beto menafikan spekulasi itu.
Sebaliknya, Beto berkata, apa yang dikongsi sekadar petikan sebuah skrip.
“Tidak ada (rasa tidak puas hati) dan bukan luahan. Itu hanyalah skrip, jangan (buat spekulasi),” katanya sambil ketawa.
Kredit : Berita Harian