KUALA LUMPUR: Datuk Seri Siti Nurhaliza reda dan bersedia dengan segala kemungkinan jika masalah vokal dan pernafasan yang dihadapi dalam proses rakaman album terbaharu, SITISM, berlarutan.
Malah, Siti bersikap positif dan sedia terima dengan hati terbuka komen peminat berhubung mutu nyanyian yang terjejas akibat pernah dijangkiti COVID-19.
“Sampai suatu ketika, apabila masalah vokal ini lama hendak pulih, dalam diri, Siti sudah reda jika Allah hendak tarik sikit suara ini.
“Pada usia 40-an, kalau Allah hendak bagi suara Siti serak atau kasar, Siti okay sahaja.
“Siti anggap ini sebagai ingatan daripada Allah. Insya-Allah, Siti akan jaga (vokal) sebaiknya.
“Ada peminat bercakap mengenai mutu suara Siti. Apa Allah hendak bagi, Dia akan bagi. Kalau kalau Allah hendak tarik, Dia akan tarik.

“Dalam keadaan sekarang, Siti hanya nyanyi ikut kemampuan,” katanya.
Biarpun pernah tertekan, namun, penerima trofi Anugerah Seri Perak, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2012 ini tidak pernah berputus asa memulihkan kembali vokal dengan mendapatkan rawatan pakar.
“Suara ini aset bagi artis dan besar maknanya.
“Justeru, rasa tertekan itu ada, tetapi Siti tidak terlalu memikirkannya. Bagaimanapun, dalam hati, Siti berharap masalah vokal ini dapat diatasi.
“Selain kerap bertemu pakar, Siti berdoa depan Kaabah ketika menunaikan umrah, Ramadan lalu. Siti berdoa masalah vokal ini segera pulih dan dapat siapkan proses rakaman album SITISM yang sudah beberapa kali tertangguh,” katanya ditemui pada majlis pelancaran album SITISM di sini, hari ini.
SITISM adalah album ke-20 yang dihasilkan penyanyi No 1 negara ini.
Pada majlis itu, Siti menitiskan air mata ketika menyampaikan lagu Nadi hasil ciptaan Min Hamzah dan Illi Diyana.
Mengulas perkara itu, penyanyi Anta Permana ini menjelaskan situasi itu berlaku kerana terkenang dua permata hatinya, Siti Aafiyah dan Muhammad Afwa.
Album SITISM versi digital yang dilancarkan Jun lalu memuatkan lapan lagu. Versi deluxe dan fizikal ditambah empat lagu menjadikan keseluruhan 12 dendangan.
Kredit : Berita Harian