Dasar gaji minimum belum cukup menjamin kesejahteraan masyarakat

Kadar penetapan gaji adalah antara isu utama menjadi agenda panas negara kerana ia akan mempengaruhi kesejahteraan kehidupan masyarakat. Penetapan kadar gaji minimum adalah bagi memastikan pekerja menerima upah setimpal dengan beban kerja dilakukan selain mengelak eksploitasi ke atas pekerja daripada majikan.

Kadar gaji adil dan saksama akan membantu pekerja menjalani kehidupan lebih baik. Situasi ini berbeza bagi golongan bekerja di bandar dan luar bandar, disebabkan kos kehidupan di bandar lebih tinggi berbanding di luar bandar.

Hari ini, kos kehidupan semakin meningkat saban tahun, namun tidak selari dengan nilai kenaikan gaji minimum. Maka, perkara ini akan mempengaruhi kesejahteraan hidup masyarakat.

Dasar Gaji Minimum dengan kadar RM1,500 dilaksanakan pada Jun 2022 dan diperluaskan ke peringkat syarikat swasta bermula 1 Julai lalu. Keadaan ini dilihat memberikan kelegaan kepada pekerja. Namun, persoalannya adakah kadar gaji ini cukup untuk memberikan kehidupan sejahtera bagi golongan tinggal di bandar.

Berdasarkan laporan garis panduan Belanjawanku 2022/2023 oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) Universiti Malaya, terdapat peningkatan kos hidup dalam laporan 2022/2023 berbanding 2019/2020.

Berdasarkan panduan Belanjawanku 2022/2023, kos hidup untuk golongan bujang di Lembah Klang meningkat sebanyak RM60 kepada RM1,930 berbanding RM1,870 dalam Belanjawanku 2019.

Kos sara hidup alami peningkatan ketara

Jumlah kos sara hidup diperlukan bagi memenuhi keperluan untuk hidup di 12 pusat bandar di Malaysia menunjukkan perbezaan ketara. Berdasarkan laporan itu, nilai minimum kos hidup bagi golongan bujang tanpa kenderaan untuk hidup selesa di bandar secara keseluruhannya adalah lebih tinggi daripada nilai gaji minimum ditetapkan pada masa kini.

Nilai kos kehidupan golongan bujang tanpa kenderaan paling rendah adalah di Alor Setar dengan nilai RM1,530, manakala nilai kos kehidupan paling tinggi adalah Lembah Klang dengan nilai RM1,930. Nilai kos sara hidup ini sudah pastinya lebih tinggi bagi golongan berkeluarga dan mempunyai anak.

Kos perbelanjaan dalam kehidupan seseorang individu dan sesebuah keluarga terbahagi kepada 10 iaitu makanan, tempat tinggal, pengangkutan, kesihatan, utiliti, simpanan peribadi, penjagaan peribadi, aktiviti sosial, simpanan kecemasan dan perbelanjaan mengikut budi bicara.

Bagi individu berkeluarga dan mempunyai anak akan mempunyai perbelanjaan tambahan iaitu bagi penjagaan bayi dan kanak-kanak. Perbelanjaan paling besar tertumpu kepada perbelanjaan makanan diikuti pengangkutan dan tempat tinggal.

Saban tahun kos perbelanjaan ini meningkat selari dengan kenaikan harga barangan keperluan asas di pasaran. Ditambah pula dengan kesan peningkatan inflasi. Peningkatan kadar inflasi ini akan menurunkan kuasa beli pengguna.

Apabila harga barang semakin meningkat, mustahil untuk pengguna mempunyai kuasa pembelian dan barangan sama seperti sebelumnya. Kejatuhan nilai mata wang negara juga turut memberikan impak ke atas kenaikan nilai inflasi.

Maka, adalah penting untuk memastikan nilai gaji minimum ditetapkan majikan kepada seseorang pekerja itu mampu menjamin kesejahteraan kehidupan pekerja. Kenaikan inflasi turut menjadi ancaman kesejahteraan kehidupan masyarakat.

Perlu diketahui, jika kesejahteraan hidup masyarakat terancam, ia akan mendorong kepada pelbagai isu sosial seperti masalah kesihatan, kekurangan nutrisi, gelandangan, jenayah dan kemiskinan.

Perkara ini menunjukkan betapa pentingnya tindakan sistematik perlu diambil bagi memastikan kesejahteraan hidup masyarakat terjamin mengikut piawaian ditetapkan kerajaan.

Penulis adalah Felo Penyelidik di Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya

 

Kredit: Berita Harian

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *