ISKANDAR PUTERI: Penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) melangkah ke final Piala Malaysia dengan bergaya selepas membelasah Perak FC 8-1 dan menang 12-2 secara agregat dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.
Lawan JDT di pentas final bakal ditentukan apabila Terengganu dan Kuala Lumpur City FC membuat perhitungan di Stadium Sultan Mizan, Gong Badak, malam esok ketika skuad kendalian Tomislav Steinbruckner memiliki kelebihan jaringan 2-1 terhadap barisan pemain Nenad Bacina.
Pada aksi di gelanggang keramat skuad Harimau Selatan, barisan pemain Esteban Solari yang selesa dengan kemenangan 4-1 pada aksi separuh akhir pertama di Ipoh, 19 Oktober lalu langsung tidak memberi ruang buat skuad kendalian Yusri Che Lah menguasai permainan.
Sebaliknya barisan pemain skuad The Bos Gaurus bagaikan terpukau melihat pemain Harimau Selatan menyusun gerakan dalam permainan itu dengan ketepatan umpanan bola di posisi tengah dan posisi sayap kiri dan kanan.
Tuan rumah tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-11 selepas Arif Aiman Hanapi bertindak masuk ke dalam kotak penalti dan memperdayakan tiga pertahanan pelawat sebelum merembat bola leret tepat ke penjuru kanan gol menewaskan penjaga gol, Muhammad Farhan Abdul Majid untuk meletak agregat 5-1.
Bergson Da Silva jelas berada di kelas tersendiri apabila meledak gol kedua buat skuad Harimau Selatan pada minit ke-27, selepas merembat bola kencang tepat ke penjuru kiri gawang yang gagal diselamatkan Muhammad Farhan.
Anak didik Solari menambah derita buat skuad The Bos Gaurus pada minit ke-32 selepas Heberty Fernandes yang berada di luar kotak penalti bertindak merembat bola menerjah jaring bagi meletakkan tuan rumah selesa mendahului 3-0 dan dengan agregat 7-1.

Bersambung babak kedua, sepatutnya JDT menambah jaringan pada minit ke-51 selepas bola umpanan ke belakang Fernando Forestieri memberi ruang buat kapten Jordi Amat melakukan sepakan lencong, tetapi tiang gol menjadi penghalang.
Namun gol yang dicari tuan rumah untuk melenyapkan sisa perjuangan Perak FC terhasil pada minit ke-52 selepas Forestieri yang tidak di kawal mudah merembat bola untuk gol keempat perlawananan.
Bergson menjaringkan gol keduanya pada minit ke-60 apabila merembat kencang menewaskan Muhammad Farhan.
Tidak sampai dua minit gol yang dijaringkan Bergson, giliran pemain gantian Syafiq Ahmad mencipta gol selepas menanduk bola hasil umpanan Oscar Arribas untuk kedudukan 6-0 dan agregat 10-1.

Tindakan Luka Milunovic yang menanduk bola dengan hasrat Muhammad Farhan menangkap bola menjadi mimpi ngeri pada minit ke-77 apabila Syafiq yang tidak dikawal menyambar bola dan menguis masuk untuk meletakkan kedudukan 7-0.
Ketika aksi memasuki minit kecederaan, Fernandes turut mencetak gol kedua peribadi sebelum Perak FC meraih gol sagu hati menerusi Firdaus Ahmad Fuad.
Kredit : Berita Harian