SHAH ALAM: Pasangan sepupu, Haqiem Rusli dan Ariff Bahran terus unggul di pentas musim ketiga Famili Duo (FD3) apabila diumum Duo Terbaik pada konsert minggu keempat yang disiarkan secara langsung TV3 dari Studio TV3, Glenmarie, di sini, malam tadi.
Pada konsert itu, Ariff dan Haqiem mempersembahkan secara medley lagu Janam Janam, Goyang Inul dan 100% Cintaku, lantas melayakkan mereka memenangi hadiah wang tunai RM10,000.
Ini kemenangan kedua Haqiem dan Ariff yang sebelum ini meraih gelaran sama pada minggu kedua dengan menampilkan persembahan berkonsepkan solidariti kepada rakyat Palestin.

Pada konsert minggu keempat FD3, Ariff dan Haqiem menyelitkan sketsa mencuit hati, sekali gus berjaya menarik perhatian juri Ajai dan Mas Idayu.
Ariff dan Haqiem mengumpul 62.5 markah meninggalkan lima pasangan lain iaitu Syarif dan Shaiful Zero yang beroleh 56.7 markah; Ryan Bakery dan Adam Bakery (52.8 markah); Tom dan Fuad Rahman (47.2 markah); Syahir Amzah dan Shila Amzah (45.1 markah) serta Adira Suhaimi dan Emma Suhaimi (41.7 markah).