KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Caliph Buskers, Azmi Saat dan isteri, Nazira Muhammad selamat menimang cahaya mata yang dilahirkan secara pembedahan di sebuah pusat perubatan, kira-kira jam 3.28 petang tadi.
Menerusi hantaran dimuatnaik dalam Facebook, penyanyi lagu Hanya Namamu ini meluahkan rasa syukur kerana isteri dan bayi perempuan yang diberi nama Khalisa Insyirah berada dalam keadaan stabil.
“Alhamdulillah. Pukul 3.28 petang isteri saya selamat melahirkan anak perempuan kami.
“Baby dan ibu, kedua-duanya sihat. Semuanya dipermudahkan Allah.
Baby gebu. Beratnya 3.62 kilogram.
“Moga Khalisa Insyirah Khairul Azmi membesar dengan sihat dan menjadi anak yang solehah.
“Terima kasih kalian yang tak jemu mendoakan kebahagiaan kami,” tulisnya.
Meninjau ruangan komen, ramai pengikut dan rakan selebriti teruja dengan berita dikongsi Azmi, sambil mengucapkan tahniah kepada pasangan suami isteri itu.
Terdahulu, Azmi turut memuat naik hantaran memaklumkan Nazira bakal menjalani pembedahan untuk melahirkan anak kedua mereka itu dan memohon doa semua pihak supaya prosedur itu selamat dan berjalan lancar.
Pada September 2021, pasangan terbabit diuji apabila bayi lelaki sulung mereka, Khairul Afnan meninggal dunia selepas tiga hari dilahirkan.
Kredit : Berita Harian