KUALA LUMPUR: Ibarat majlis ‘reunion’ sitkom Pi Mai Piu Mai Tang Tu (PMPMTT). Begitulah gambaran majlis resepsi pasangan pengantin popular, Sabri Yunus, 62, dan Ardini Angeline Tan, 56, anjuran Persatuan Melodi Kenangan Artis Dan Penggiat Seni (PEMEKAR) di sebuah hotel di Ampang, Jumaat lalu.
Selain menghimpunkan penggiat industri kreatif dari pelbagai cabang seni, majlis gilang-gemilang itu juga menyaksikan kehadiran bekas pelakon siri berkenaan seperti Sabariah Hitam yang membawa watak Mak Uda dan pengarahnya, Othman Hafsham.
Pada majlis itu, tetamu dibawa mengimbau semula babak membabitkan Sabri yang memegang watak Wan Ismail Golok dan Angeline sebagai Lucy menerusi tayangan video di layar lebar.
Mengulas kehadiran keluarga Pi Mai Piu Mai Tang Tu ke majlis itu, Sabri atau nama penuh, Mohd Sabri Yunus teruja atas kesudian mereka memeriahkan acara yang penuh bermakna itu.
“Saya terharu dan seronok melihat kehadiran mereka. Ketika mula-mula kami berkahwin, ramai yang mengimbau zaman Pi Mai Piu Mai Tang Tu dan pada malam ini (Jumaat lalu), situasi itu dapat dirasai.
“Bagi yang tidak dapat hadir, saya faham mereka ada komitmen yang sudah dipersetujui awal. Imuda ada beritahu, dia terbabit dengan satu acara lain di luar daerah.

“Lagipun perancangan untuk majlis ini dibuat pada masa agak singkat,” kata Sabri yang tampak segak mengenakan busana tradisional songket rona biru muda, sedondon dengan isteri tercinta.
Disebabkan tidak ramai pelakon Pi Mai Piu Mai Tang Tu hadir ke majlis itu, Sabri meluahkan hasrat mengadakan majlis kecil-kecilan bersama mereka yang pernah menjayakan siri itu.
“Ada terdetik juga, alangkah bagusnya jika kami dapat anjurkan majlis khas untuk yang pernah berlakon dalam sitkom ini. Mungkin majlis itu tidak besar tetapi lebih intim,” ujarnya.
Berkongsi perasaan, Othman seronok kerana majlis resepsi Sabri dan Angeline dapat mempertemukan kembali dengan mereka yang pernah menjadi anak didiknya.
“Saya gembira kerana walaupun masing-masing sudah berusia, masih mesra dan melayan saya dengan begitu baik sekali. Sikap mereka itu sangat saya hargai.
“Kami memang jarang berjumpa atau berhubung, kecuali kalau ada hal penting. Tidak dinafikan rasa rindu pada mereka tetap ada. Lebih-lebih lagi jika nampak klip video Pi Mai Piu Mai Tang Tu yang dikongsi dalam media sosial.
“Secara tidak langsung, saya teringat kepada semua pihak yang terbabit dalam sitkom itu. Malam ini jadi kenangan paling indah buat saya,” luahnya.
Ditanya reaksi selepas mendapat tahu Sabri dan Angeline bertemu jodoh, pengarah filem Adik Manja dan Mekanik ini mengakui terkejut dengan berita itu.
“Ketika sesi latihan, saya nampak mereka biasa sahaja. Memang tidak nampak bayangan langsung mereka jatuh cinta. Mungkin mereka berdua kuat menyimpan rahsia.
“Apa-apapun saya ingin ucapkan selamat pengantin baharu dan moga kekal bahagia hingga ke akhir hayat,” katanya.
Sementara itu, mengulas penganjuran majlis respsi itu, Presiden PEMEKAR, Amran Nasruddin menjelaskan idea tercetus selepas melihat maklum balas positif warganet terhadap pernikahan Sabri dan Angeline.
“Idea untuk mengadakan majlis resepsi ini timbul selepas pernikahan Sabri dan Angeline menjadi sohor dan mencuri perhatian ramai terutama dalam media sosial.
“Selepas berbincang dengan pihak penaja dan Sabri, atas persetujuan bersama, kami pilih tarikh hari ini (Jumaat) untuk menganjurkan majlis.
“Kami sudah lama berkawan selepas sama-sama terbabit dalam pementasan teater. Saya fikir amat wajar PEMEKAR raikan pasangan mempelai ini.
“Kami juga ingin mengumpulkan pelakon Pi Mai Piu Mai Tang Tu dan mengundang mereka ke majlis ini. Walaupun ada antara mereka tidak dapat hadir, acara berlangsung dan meriah dengan kehadiran ramai penggiat seni,” katanya.
Majlis resepsi Sabri dan Angeline dihadiri lebih 500 tetamu antaranya keluarga kedua mempelai, rakan seperjuangan seperti Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Datuk Fauziah Nawi, Datuk Yusof Haslam dan isteri, Datin Patimah Ismail, Datuk Rosyam Nor, Mustapha Kamal, A Galak, Sophia Ibrahim, Roslan Madun, Mubarak Majid, Emma Akma dan Issey Fazlisham.
Pelawak Abon bertindak sebagai pengacara majlis.
Sabri dan Angeline dinikahkan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau Dr Maza pada majlis tertutup di Musalla Teduhan Doa, Kangar, Perlis, pada 14 Oktober lalu.
Sabri kehilangan isteri, Norraya Mohd Yusuf pada 2007 akibat kanser. Menerusi perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata. Angeline memiliki dua cahaya mata menerusi perkahwinan terdahulu.
Kredit : Berita Harian