LONDON: Manchester City mengumpul kurang satu mata dalam Liga Perdana Inggeris selepas 12 perlawanan berbanding musim lalu namun menurut syarikat penganalisis data Opta, mereka menjadi pilihan utama untuk merangkul kejuaraan keempat berturut-turut.
Opta Analyst meramalkan kedudukan penamat setiap satu 20 pasukan musim ini berdasarkan 10,000 simulasi kempen 2023-24, berasaskan kepada persembahan dan baki perlawanan, yang dimasukkan ke dalam supercomputer.
Keputusannya ternyata bagus buat pasukan kendalian Pep Guardiola dan membimbangkan buat Burnley.
City, menurut Opta Analyst, mempunyai 84.6 peratus kemungkinan menjulang trofi itu sekali lagi dengan Liverpool diberi hanya 9.1 peratus peluang manakala naib juara tahun lalu Arsenal 5.6 peratus.
Kekalahan berturut-turut buat Tottenham Hotspur bermakna peluang mereka merebut kejuaraan tiada langsung pada 0.3 peratus, sama seperti Aston Villa, menurut Opta.
Manchester United, ketika ini di tangga keenam, diramal berakhir di tangga ketujuh dan hanya mempunyai 5.9 peratus peluang untuk mengakhiri kempen di kelompok empat teratas, sekalipun mereka melonjak akhir-akhir ini.
Newcastle United mempunyai 25 peratus peluang untuk berakhir dalam kelompok empat teratas buat kali kedua berturut-turut manakala Chelsea diramal menamatkan kempen di tangga kesembilan.
Perkiraan Opta turut meramalkan tiga kelab tercorot, yang kini dihuni tiga kelab dari Liga Kejuaraan musim lalu, semuanya akan turun dengan pasukan tangga ke-20 Burnley pada kadar 86.9% tersingkir. – REUTERS
Kredit : Berita Harian