SHAH ALAM: Pelawak dua beradik, Syaiful dan Sharif terus bersinar di pentas musim ketiga Famili Duo (FD3) apabila meraih gelaran Duo Terbaik mingguan, buat kali ketiga.
Pada konsert minggu keenam yang disiarkan secara langsung TV3 dari Studio TV3, Glenmarie, di sini, malam tadi, pasangan adik-beradik itu membuktikan idea dan kreativiti mereka berada dalam kelas tersendiri.
Syaiful dan Sharif berjaya membawa lagu Bunyi Gitar nyanyian asal Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Direnjis-Renjis oleh Allahyarham R Ismail dengan baik, diserikan sketsa mencuit hati. Atas kejayaan itu, mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000.

Juri tetap, Ajai dan Mas Idayu berpuas hati dengan persembahan Syaiful dan Sharif biarpun pada awalnya sempat bergurau dengan mengatakan aksi pasangan adik-beradik itu kurang mantap.
Antara momen yang mencuit hati apabila Syaiful dan Sharif menampilkan pelakon tambahan yang seiras vokalis kumpulan Slam, Zamani.
Malah, konsep tarian dan sketsa yang diketengahkan menggamatkan suasana studio dengan sorakan dan tepukan penonton.
Sebelum ini, Syaiful dan Sharif yang diumum duo keenam FD3 pernah meraih gelaran Duo Terbaik pada konsert minggu pertama dan kelima.
Syaiful dan Sharif mengumpul 7.13 markah meninggalkan lima pasangan lain iaitu Tom dan Fuad Rahman yang beroleh 62.9 markah; Adira Suhaimi dan Emma Suhaimi (62.8 markah); Haqiem Rusli dan Ariff Bahran (47.7 markah); Shila Amzah dan Syahir Amzah (45.9 markah) serta Ryan Bakery dan Adam Bakery (45.4 markah).
Atas kemenangan itu, Syaiful dan Sharif memilih tema Hip Hop/Dance untuk dipersembahkan setiap peserta pada konsert separuh akhir, Ahad depan.
Kredit : Berita Harian