Tiada senjata rahsia – Zii Jia

SHAH ALAM: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menyangkal tanggapan dia akan tampil dengan ‘senjata rahsia’ di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) selepas berlatih selama 10 hari di Korea Selatan.

Pemain ranking ke-10 dunia itu, sebaliknya menjelaskan langkah berlatih bersama skuad kebangsaan Korea di pusat latihan di Persatuan Badminton Korea di Jincheon dibuat bagi mendapatkan suasana latihan dan pengalaman yang baharu.

“Secara jujurnya, saya berada di sana selama 10 hari sahaja, tiada senjata rahsia atau apa. Saya tidak fikir tempoh latihan yang singkat di Korea boleh memberikan peningkatan prestasi yang ketara.

“Sebaliknya, ia menjadi peluang untuk saya mempelajari perkara baharu.

“Korea sudah melahirkan dua juara dunia dan saya mahu melihat rutin latihan mereka.

“Di sana, mereka ada 6 hingga 8 pemain perseorangan dan memberikan saya rakan sepelatih yang bervariasi, malah ada juga pemain tangan kidal, satu pengalaman berharga untuk saya,” kata Zii Jia.

Terdahulu, Zii Jia membuat kemunculan sulung pada saingan BATC kali ini apabila turun selaku perseorangan pertama ketika Malaysia menentang Kazakhstan dalam aksi kedua Kumpulan B.

Dia yang tidak diturunkan ketika aksi pertama menentang Brunei semalam tidak berdepan masalah untuk menghadiahkan mata pertama kepada pasukan apabila menundukkan Dmitriy Planarian 21-11, 21-10.

Bekas juara Seluruh England itu dijangka sekali lagi menjadi taruhan utama skuad negara selaku perseorangan pertama menjelang pertemuan menentang Taiwan pada aksi terakhir yang menjadi penentuan gelaran juara kumpulan, esok.

Katanya, aksi menentang wakil Kazakhstan hari ini dianggap sebagai pemanas badan buat dirinya sebelum menentang pemain Taiwan yang dijangka menurunkan Lin Chun Yi selaku perseorangan pertama.

“Saya tidak boleh bercakap bagi pemain lain tetapi untuk saya, saya lebih suka ada perlawanan pemanas badan sebelum perlawanan sukar.

“Kita pun sudah jangka siapa akan diturunkan esok. Chun Yi sudah menunjukkan peningkatan prestasi yang sangat baik dalam tempoh dua tahun terakhir ini.

“Saya menjangkakan ia akan menjadi perlawanan yang sukar antara saya dengan Chun Yi esok,” katanya yang pernah menewaskan pemain Taiwan di ranking ke-21 dunia itu sekali tetapi tewas pada pertemuan terakhir mereka di Masters Malaysia, tahun lalu.

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *