Hobi mengait jadi terapi diri, jana pendapatan

KUALA LUMPUR: Setiap orang memiliki hobi tersendiri dan mengait antara aktiviti santai yang kekal popular dengan pelbagai hasil produk boleh dihasilkan daripada alas kusyen dan meja hingga kepada beg tangan, beg genggam serta bekas botol air.

Umpamanya, Noorhafizah Hamid, 45, dan Norliza Ghazila, 35 menjadikan bidang itu sebagai sumber pendapatan.

Menurut Noorhafizah berasal dari Jengka, Pahang, mula mengait kira-kira dua dekad lalu selepas tamat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kini pengait sepenuh masa menggunakan jenama Izariecraft Handmade bagi produk kait yang dihasilkan.

“Awalnya belajar mengait daripada arwah kakak saya, Noorsahlawati yang mengajar perkara asas selebihnya saya belajar tutorial melalui kelas dalam talian. Saya juga banyak menonton cara mengait daripada YouTube dan Pinterest. ” katanya.

Noorhafizah beroperasi sepenuhnya dari rumahnya di Pekan, Pahang menyifatkan mengait sebagai terapi memberikan ketenangan luar biasa buat suri rumah sepertinya, selain menghindarkan diri daripada tekanan.

“Mengait menjadikan saya insan lebih teliti dalam segala hal. Saya turut melihat karya pengait dari luar negara seperti di negara Arab, Indonesia dan Thailand kerana reka cipta serta produk mereka lebih terkini.

“Boleh dikatakan prospek pasaran negara luar dalam bidang ini sangat tinggi nilainya jika dibandingkan dengan Malaysia,” katanya.

Selain tas tangan, ibu seorang cahaya mata lelaki itu turut menghasilkan kopiah tertera nama, topi (beach hat) serta selimut.

CABARAN

Hampir dua dekad mengait, Noorhafizah berjaya menghasilkan lebih 1,000 produk kait dan pastinya setiap barangan memberikan cabaran tertentu.

Untuk menyiapkan satu beg tangan, memakan masa kira-kira seminggu mengikut saiz dan bentuk, diikuti sarung bekas botol air selama sehari, amigurumi (anak patung mainan) dalam masa dua hari mengikut saiz manakala kopiah dapat dibuat sehari.

“Paling mencabar ketika buat beg dan amigurumi kerana kedua-dua produk ini ada corak tertentu yang memerlukan fokus mendalam. Contohnya, beg perlu menepati permintaan pelanggan. Lapik dalam beg kena buat sekiranya pelanggan mahu.

“Amigurumi juga agak mencabar adakalanya mengikut kehendak pelanggan yang mahu sempurna. Sebab itu, faktor emosi sangat memainkan peranan semasa mengait,” katanya memaklumkan setakat ini beg tangan paling mendapat permintaan tinggi.

Menggunakan benang jenis polypropylene (pp) dan pp spring, buatan China dan Indonesia.

“Banyak benang digunakan terutama beg tangan memerlukan dua relung benang. Setiap jenis benang tidak sama teksturnya. Saya dapatkan semua benang ini daripada penjual tempatan,” katanya.

Bagi menghasilkan beg tangan memukau, kombinasi warna amat penting dan kebiasaannya pelanggan memilih sendiri warna kesukaan mereka.

Jelas Noorhafizah, gabungan warna sangat mustahak untuk menampakkan tas tangan menarik.

“Merah dipadankan dengan hitam manakala coklat pula bersama hijau emerald tampak sesuai,” katanya pernah melalui episod pahit manis apabila produk ibuat tidak menjadi dan perlu dibuka semula.

Selain itu, detik pahit lain, beliau juga pernah ditipu pelanggan.

ADAKAN KELAS PJJ

Tidak terhenti di situ sahaja, Noorhafizah juga tidak lokek berkongsi ilmu dimilikinya kepada mereka di luar sana yang ingin mempelajari ilmu seni kait.

“Saya adakan kelas melalui telegram serta dalam kumpulan Facebook peribadi. Tiada had masa untuk satu kelas dan bayaran seikhlas hati. Setakat ini, lebih 20 kelas diadakan dengan setiap kelas disertai 50 hingga 100 peserta,” katanya bercita-cita membuka sebuah kedai kraf lengkap dengan peralatan untuk mengajar secara langsung atau bersemuka.

“Dengan adanya kedai sendiri boleh saya mengajar anak-anak setempat mengait supaya mereka mengetahui bagaimana menambah pendapatan melalui kraf mengait.

“Golongan muda sekarang memang memerlukan kemahiran mengait. Walaupun, hanya dari rumah mampu menjana pendapatan sendiri tanpa perlu bergantung dengan suami atau keluarga,” katanya.

PELUANG TAMBAH PENDAPATAN

Bagi Norliza, suri rumah berasal dari Kubang Kerian, Kelantan, baru berjinak dalam kraf kait pada awal Disember 2023 dan menyifatkan hobi baharunya itu sebagai terapi memberi ketenangan setelah penat melayan kerenah anak-anak sehari suntuk.

“Apabila dapat pegang jarum kait terus berasa lega dan kini ia seperti satu ketagihan pula. Walau pun tidak dinafikan kesabaran dan ketelitian sangat menguji diri ketika memulakan langkah mengait.

“Jika tersilap kiraan memang kena cabut balik. Namun bila dapat hasil yang sempurna, hati sangat bahagia dan berbunga-bunga.

“Pada saya hikmah dalam mengait ini ialah kita dapat mempelajari ilmu daripada zaman nenek moyang sehingga membuatkan saya terfikir betapa hebat dan kreatifnya seni orang-orang lama,” kata pemegang Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat di Universiti Sains Islam Malaysia.

Ibu dua cahaya mata perempuan ini berkata, kos bahan yang semakin meningkat seperti benang serta aksesori menjadi faktor kekangan.

“Hendak mengait juga kena pastikan jari-jemari berada dalam keadaan elok. Silap teknik boleh kejang jari sehingga hendak luruskan jari pun sakit. Tapi semua itu hilang tatkala produk yang kita lakukan mencapai kepuasan pelanggan.

Pujian dari mereka menaikkan lagi semangat untuk terus mengait,” katanya yang mula belajar daripada adik kemudian meluaskan pengetahuan kait dengan merujuk YouTube, TikTok serta bertanya rakan yang mahir mengait.

Antara produk dihasilkan adalah beg dan yang paling mendapat sambutan pelanggan.

Kebanyakan yang menempah adalah sahabat, saudara serta kenalan dalam media sosial dan kini boleh dikatakan beliau tidak menang tangan menyiapkan tempahan pelanggan.

Beliau bersyukur kerana hasil mengait dapat membantu beroleh pendapatan tambahan.

“Sepanjang dua bulan terbabit dengan seni kait ini, anggaran sebulan mendapat tempahan lebih kurang lima hingga lapan beg. Setakat ini saya menyiapkan l13 buah beg dan memperoleh RM500,” katanya suri rumah boleh tambah duit poket dengan mengait. – BERNAMA

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *