Belum hamil, Nabila Razali sedia berdepan soalan mengenai zuriat pada Aidilfitri

SHAH ALAM: Mengesahkan dirinya belum berbadan dua, Nabila Razali, 31, sudah sedia berdepan soalan berhubung zuriat daripada sanak-saudara dan kenalan yang bertandang, menjelang Aidilfitri, bulan depan.

Mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihan hati, Nik Iruwan Nik Izani pada 18 November lalu, Nabila percaya rezeki Tuhan dalam soal zuriat.

“Kalau Dia kata sudah tiba masanya, tibalah. Kalau ada yang bertanya, jawapan saya sama… Kalau ada rezeki, adalah.

“Kalau tiada, hendak buat macam mana. Kita terus usaha sebab saya tidak letak ‘deadline’ atau sasaran bila hendak berbadan dua. Saya percaya dengan rezeki dan sangat berpegang dengan rezeki Tuhan.

“Sekarang, saya buat banyak perkara. Mungkin Tuhan kata, kerja dahulu… Saya pun tak tahu. Semoga soal ini (zuriat), dipermudahkan… Insya-Allah,” katanya ditemui pada majlis pelancaran single Raya Mana? di pusat beli-belah Aeon Mall di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, Nabila cuba meletakkan had dalam berkongsi kisah peribadi dan rumah tangga dalam media sosial seperti dinasihatkan suami.

“Saya lebih selesa letakkan had untuk tunjuk kebahagiaan. Kita sebagai perempuan risau dan cuba untuk kawal. Kadang-kadang, ada video yang sudah dirakam dan suami tanya, hendak muat naik di mana.

“Apabila saya beritahu hendak kongsi di TikTok, suami tengok dahulu. Kalau suami beritahu okay, baru saya muat naik. Namun, saya juga buat tapisan sendiri.

“Suami berpesan, kalau hal rumah tangga, simpan untuk kami berdua sahaja,” katanya.

Mengulas mengenai single Raya Mana?, Nabila mengaku teruja berpeluang merakamkan single Aidilfitri pertamanya.

“Saya sangat gembira menghadiahkan single ini kepada peminat. Lagu ini ada tempat istimewa dalam hati kerana merangkumi emosi dan nostalgia musim perayaan.

“Apatah lagi, sejak berkahwin, saya berdepan situasi seperti judul single ini. Sebelum ini, tidak fikir untuk sambut raya di mana,” katanya.

Single Raya Mana? dicipta komposer, Ezra Kong yang turut menghasilkan liriknya. Single itu berkisar perasaan dan pengalaman pulang ke kampung sempena Aidilfitri.

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *