Filem Sheriff kaut RM44.5 juta selepas 14 hari tayangan

KUALA LUMPUR: Filem Sheriff arahan Syafiq Yusof mendapat sambutan luar biasa di pawagam meskipun memasuki minggu kedua tayangan di seluruh negara dengan meraih kutipan terkini RM44.5 juta.

Bapa Syafiq, iaitu Datuk Yusof Haslam berkata, kejayaan itu menyuntik semangat baharu kepada industri perfileman negara selepas suram tanpa karya nafas baharu.

“Alhamdulillah dengan sambutan Sheriff yang memberangsangkan di pawagam, industri (perfileman) kembali bernafas.

“Keadaan ini sekali gus menyuntik semangat kita untuk terus berjuang berkarya menghasilkan filem yang berkualiti,” katanya ketika ditemui sebagai tetamu jemputan pada Rumah Terbuka Aidilfitri Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) di sini, hari ini.

Sebelum ini, Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan arahan seorang lagi anak Yusof, Shamsul melakar sejarah apabila mencatat kutipan pecah panggung sebanyak RM97 juta pada 2022, sekali gus meletakkan Mat Kilau sebagai filem dengan kutipan tertinggi di negara ini.

Yusof yang juga Pengerusi Skop Productions merangkap Penerbit Eksekutif bersama filem Sheriff turut berterima kasih kepada penonton yang memuji garapan luar biasa filem Sheriff dan menganggap watak dalam filem itu telah berjaya meninggalkan kesan kepada mereka.

Filem Sheriff yang mula ditayangkan pada 19 April lalu, menampilkan gandingan Zul Ariffin, Syafiq Kyle, Azira Shafinaz dan Elizabeth Tan. Filem berkisar Nazri, iaitu anggota polis daripada Jabatan Narkotik yang merasakan masalah sindiket dadah Tony Ifrit semakin berleluasa.

Nazri terdesak menyelesaikan kes itu sendiri kerana Tony sering terlepas daripada cengkaman undang-undang apabila melalui proses penghakiman.

Pada masa sama, Sheriff, seorang anggota daripada Jabatan Integriti dihantar Ketua Polis Negara (KPN) menyelesaikan kes ‘Meth Killer’ dan ditugaskan bersama Nazri untuk berada di bawah satu jabatan. – BERNAMA

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *