KUALA LUMPUR: Teknologi yang semakin maju menyebabkan dunia kini berdepan dengan peningkatan ancaman dan serangan siber di peringkat global.
Antara mangsa serangan siber adalah wanita, lantas usaha merapatkan jurang jantina dan menggalakkan lebih ramai wanita untuk menyertai bidang keselamatan siber.
Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin, berkata ketika ini jumlah wanita yang terbabit dalam kerjaya berkaitan keselamatan siber di peringkat global adalah kira-kira 25 peratus.
Namun katanya, jumlah itu dianggarkan meningkat kepada 30 peratus pada tahun 2025 serta 35 peratus pada tahun 2031.
“Walaupun terdapat peningkatan, penyertaan wanita dalam bidang ini masih di tahap yang agak rendah dan keadaan ini seperti melangkah ke medan peperangan dengan hanya separuh kekuatan,” katanya pada Program Women in Cyber (WiC) 2024 anjuran Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), MKN, baru-baru ini.
Nushirwan berkata, program dengan tema Memecah Halangan, Memacu Kecemerlangan itu dihadiri lebih 400 peserta termasuk pemain industri, pegawai kerajaan, ahli akademik dan komuniti keselamatan siber untuk bertukar pandangan, idea dan meraikan wanita yang menceburi bidang ini.
Program juga bertujuan memupuk persekitaran positif kepada golongan wanita yang berjaya dalam profesion masing-masing berkongsi pengalaman.
“WiC 2024 memberi ruang untuk wanita memperkasa dan memberi inspirasi antara satu sama lain, secara tidak langsung memangkin kemajuan kerjaya dan merapatkan jurang jantina dalam sektor yang dinamik ini,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, dalam ucaptama bertajuk Kepimpinan dalam Dunia Digital, menjelaskan sumbangan penting wanita dalam bidang keselamatan siber serta evolusi dalam landskap kepimpinan.
Beliau berkata, kepimpinan moden kini menjangkau batasan tradisional dan merangkumi nilai kualiti seperti visi, empati dan adaptasi, yang sangat penting dalam mendepani era digital yang kompleks.
Justeru, katanya, pemimpin berperanan penting memangkin perubahan positif masyarakat, mencipta legasi dan meningkatkan permerkasaan.
“Sumbangan wanita tidak ternilai termasuk kemahiran mewujudkan persekitaran yang kolaboratif melalui komunikasi berkesan, kemahiran interpersonal dan komitmen menggunakan teknologi bagi kepentingan masyarakat serta merapatkan jurang digital,” katanya.
Hapuskan norma berat sebelah babitkan wanita
Beliau turut tidak menyangkal kewujudan norma berat sebelah (biases) terhadap wanita dalam menjawat jawatan tinggi.
“Sehubungan itu, saya menggalakkan organisasi untuk menghapus norma berat sebelah ini bagi meraikan kepelbagaian, meningkatkan peluang, mewujudkan persekitaran yang terbuka dengan pelbagai perspektif dan membolehkan pemacuan inovasi serta kejayaan dalam era digital,” katanya.
Ketua Eksekutif NACSA, Ir Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin, berkata WiC 2024 akan menguatkan lagi asas bagi memperkasakan wanita supaya berperanan lebih penting dalam mendukung keselamatan siber negara.
Katanya, WiC program pertama dalam siri rangkaian acara CYDES 2024 dan seterusnya acara utama CYDES 2025, program premier keselamatan dan pertahanan siber serta teknologi baharu.
“Saya yakin kejayaan WiC 2024 adalah petanda positif dan membuka laluan bagi kejayaan penganjuran CYDES 2025 kelak,” katanya.
Kredit : Berita Harian