Zizi boikot semua produk pro-Israel

PETALING JAYA: Penyanyi Zizi Kirana mengakui tidak lagi memakai jenama pro-Israel dan memilih menukar semuanya kepada barangan tempatan.

Zizi Kirana atau nama sebenarnya, Nur Fazelah@Zizie Mad Tahil, 39, berkata dia sangat berhati-hati dalam membeli termasuklah barangan solekan dan makanan.

“Memang susah nak boikot sebab sudah terbiasa. Sejak dahulu lagi sudah dikelilingi barangan luar. Macam saya sendiri, dari segi peribadi, barangan solek pun saya tukar.

“Apa yang saya ada sebelum ini saya habiskan, ada juga saya tukar seperti pencuci muka dan barangan solek. Jurusolek yang selalu solek pun saya tanya, gunakan jenama apa.

“Saya berpesan pakai sahaja jenama tempatan untuk solekan. Saya juga kata jangan beli baharu, kalau ada yang lama pun tidak mengapa.

“Saya juga tidak lagi minum Milo walaupun itu kegemaran saya. Itu saya katakan pada suami, Yusuf Bahrin, tak mati pun kalau tak minum,” katanya kepada BH Online.

Mengulas lanjut, Zizi mengakui, usaha memboikot jenama pro-Israel itu tidak mudah, namun ia percaya boleh membantu.

“Bila kita latih benda ini, insya-Allah ia boleh membantu. Kita perlu memperluaskan solidariti buat Palestin supaya impak lebih besar kepada regim Israel.

“Kita melakukan semampu boleh, jangan beli barangan yang boleh menyalurkan pendapatan kepada mereka. Usaha ini memang nampak kecil, tapi insya-Allah akan jadi saksi di akhirat,” katanya yang ditemui di majlis bacaan Yassin dan pelancaran Tabung Bersamamu Rafah 2024 di Glam Hall Damansara, di sini, baru-baru ini.

Turut terbabit dengan usaha pelancaran Tabung Bersamamu Rafah, Zizi berharap sasaran mengutip RM500,000 untuk Rafah akan tercapai.

Zizi berkata, dia juga terbabit dalam menghasilkan lagu khas berjudul Bersamamu Rafah. Lagu yang dihasilkan oleh Yuka Kharisma itu turut dinyanyikan bersama Yuka, Idayu, Datin Seri Umie Aida dan Datuk Seri Alha Alfa.

Pada Ramadan lalu, Zizi pernah menyertai misi kemanusiaan ke Syria selama lima hari dan kunjungan pertamanya banyak membuka matanya untuk lebih bersyukur.

“Kalau tengok di Syria, sama sahaja seperti di Palestin, cuma mereka tidak mendapat banyak pendedahan. Ini kerana berita banyak disekat.

“Jadi, kita kurang tahu dan bila saya dan Cinta Syria Malaysia sampai di sana, saya nampak kehidupan mereka sangat susah.

“Mereka tinggal dalam khemah kecil. Tilam lusuh, bantal pun tiada. Memang sedih nampak semua di depan mata.

“Paling sedih, mereka menjemur roti dan nasi di bawah cahaya matahari.

Mereka jemur dan keringkan supaya tiada fungus dan tidak basi, boleh dimakan berkali-kali.

“Kita makan sedap-sedap, bila tak habis siap buang lagi. Mereka di sana sangat menghargai makanan sampai begitu sekali. Kehidupan mereka jauh berbeza dengan kita.

“Mereka susah, tapi gembira dan tidak meminta-minta,” katanya.

Justeru, Zizi tidak keberatan sekiranya diberikan peluang untuk menyertai misi kemanusiaan dan bantuan.

“Saya bersyukur suami sangat menyokong dan tidak menyekat saya menyertai misi kemanusiaan,” katanya.

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *