Najib dakwa simpan derma Arab Saudi untuk pelan luar jangka

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, Datuk Seri Najib Razak mendakwa menyimpan sejumlah wang dikatakan derma Arab Saudi sebagai pelan luar jangka jika timbul keperluan menghalang wakil rakyat BN ‘dibeli’ pembangkang seperti yang berlaku pada 16 September 2008.

Perkara itu dinyatakan Najib ketika memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) pada 2018 dan kenyataan berkenaan dibacakan Pegawai Penyiasat, Penguasa Kanan SPRM, Nur Aida Arifin ketika diperiksa semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib.

Melalui kenyataan dibacakan Nur Aida, Najib berkata wang terbabit iaitu sebahagian daripada AS$681 juta dipulangkan semula sekitar penghujung 2013 tetapi tidak secara terus kepada kerajaan Arab Saudi, sebaliknya dipulangkan menerusi syarikat Tanore Finance Corp yang didakwa dimiliki oleh kerajaan negara Asia Barat itu.

Kenyataan itu turut menyatakan, Najib berkata beliau terpaksa bersedia daripada segi kewangan walaupun tidak bersetuju dengan amalan berkenaan kerana takut pihak pembangkang mencuba sekali lagi membeli wakil rakyat.

Namun, apabila tiada sebarang gerakan berlaku, Najib berkata beliau berasakan perlu dipulangkan semula kepada pihak yang memasukkan dana berkenaan ke akaunnya, iaitu Tanore selaku pihak yang dilantik oleh Arab Saudi.

Melalui keterangan saksi pendakwaan di mahkamah sebelum ini, Tanore Finance dikatakan adalah syarikat dikawal sekutu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, iaitu Eric Tan Kim Loong.

Pada 16 September 2008, iaitu ketika Najib memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri, Ketua Umum PKR ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ketua Pembangkang mendakwa lebih 31 ahli Parlimen BN kononnya akan menyertai Pakatan Rakyat (PR).

Melalui kenyataannya, Najib juga berkata, semua urusan untuk pemulangan semula termasuk dokumentasi, struktur dan proses kewangan adalah di bawah kawalan dan pengetahuan bekas Ketua Setiausaha Sulitnya, Allahyarham Datuk Azlin Alias; bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Nik Faisal Ariff Kamil dan pihak bank.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu turut berkata, beliau mengarahkan mereka untuk menguruskan perkara itu dan memberikan sepenuhnya mandat untuk memulangkan kepada pihak yang dilantik oleh Arab Saudi iaitu Tanore dan struktur pembayaran pemulangan semula adalah di luar pengetahuannya.

Jelasnya, beliau memulangkan semula duit itu kerana tiada keperluan lagi untuk pilihan raya dan sebarang perbelanjaan luar jangka dan dikhuatiri jumlah yang besar disimpan dalam akaunnya boleh mengundang pelbagai persepsi sekiranya bocor.

Sementara itu, Nur Aida bersetuju dengan Ahmad Akram bahawa daripada pembelaan Najib, beliau menerima derma Arab yang didakwa tidak digunakannya sebaliknya disimpan sebagai pelan luar jangka sekiranya terdapat kejadian luar jangka seperti 16 September.

Apabila disoal, adakah dana itu digunakan untuk kepentingan politik bekas perdana menteri itu, Nur Aida menjawab,”ya.”

Disoal lanjut, saksi berkata bahawa sehingga hari ini, Najib tidak pernah membuat sebarang laporan kepada mana-mana pihak mengenai dakwaan tanda tangannya dipalsukan, seperti dibangkitkan pembelaan bahawa dokumen kelulusan pinjaman oleh 1MDB adalah berbeza seperti disalin dan ditampal.

Perbicaraan bersambung petang ini dengan pembelaan menyoal balas bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *