Faktor pakej pembelajaran sekat murid belajar sastera

KUALA LUMPUR: Anggapan subjek Kesusasteraan Melayu tidak diminati pelajar hingga menjadi punca jumlah sekolah yang menawarkan mata pelajaran itu semakin mengecil, sebenarnya kurang relevan.

Hal ini dikongsikan oleh Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Saifullizan Yahaya berdasarkan hasil penyelidikan dilakukan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada tahun lalu.

Katanya kajian itu mendapati, selain pelajar aliran sastera, subjek Kesusasteraan Melayu sebenarnya turut menarik minat murid daripada aliran Sains dan Teknologi.

“Berdasarkan kajian itu didapati ramai pelajar mengakui mereka tertarik untuk mempelajari subjek Kesusasteraan Melayu.

“Bagaimanapun disebabkan pakej pembelajaran yang terhad selain sesetengah sekolah tidak menawarkan subjek berkenaan, keinginan untuk mempelajari subjek Kesusasteraan Melayu tidak kesampaian.

“Dapatan ini sebenarnya menarik, dan akan disampaikan kepada Kementerian Pendidikan,” katanya dalam Wacana Perancangan Penyelidikan Sastera: Pembina Korpus Sastera Kebangsaan di reruai Dewan Bahasa dan Pustaka sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), baru-baru ini.

Selain Saifullizan, wacana itu turut menampilkan mantan Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera, DBP, Dr Hanafi Ibrahim dan penyelidik, Dr Mohamad Shahidan sebagai panel.

Sebelum ini timbul isu mengenai penutupan kelas Kesusasteraan Melayu atau kini disebut Kesusasteraan Melayu Komunikatif (KMK) yang antara lainnya dikaitkan dengan sikap murid yang tidak suka membaca.

Ia diburukkan lagi dengan isu kekurangan guru opsyen malah selepas subjek itu dijenamakan semula sebagai KMK ia masih kurang mampu menarik perhatian murid.

Kementerian Pendidikan sebelum ini turut berkongsi statistik

pelajar mengambil subjek KMK yang semakin merosot tahun ke tahun iaitu seramai 13,044 calon berdaftar bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2022, berbanding 14,045 pada 2021, 14,972 (2020), 15,857 (2019) dan 16,394 (2018).

Justeru Saifullizan berkata, dapatan kajian oleh UPSI sangat menarik untuk dibincangkan.

Tambahnya, kajian sebegitu adalah sebahagian skop bidang penyelidikan sastera di DBP selain turut terbabit melakukan pelbagai lagi usaha misalnya mendokumentasikan pantun lisan

Usaha itu katanya dimulakan sejak 1985 dan koleksi pantun berkenaan dimuatkan dalam naskhah berjudul Kurik Kundi Merah Saga.

Secara umum naskhah itu yang menghimpunkan sekitar 5,653 rangkap pantun dikumpulkan dari seluruh negara. Ia bagi memastikan, seni warisan Melayu itu terus segar dalam kalangan masyarakat.

Usaha mendokumentasikan pantun lisan itu yang dimulakan sejak Disember 1985 turut membabitkan Dr Hanafi dan Mohamad Shahidan. Ia bukan saja mengumpulan koleksi pantun lisan dari Semenanjung tetapi juga Sabah dan Sarawak.

Menariknya ia turut mengumpulkan pantun-pantun yang digunakan ketika persembahan misalnya dondang sayang dan bongai. Jika di Perak, proses pengumpulan turut merangkumi pantun yang diucapkan semasa permainan lotah dan bubu di sekitar Bota.

Saifullizan berkata, usaha pendokumentasian pantun itu berkenaan sangat bermanfaat kerana warisan sastera lisan itu sangat berharga dan menjadi antara khazanah negara, malah kini dikenali di peringkat antarabangsa susulan pengiktirafannya oleh Pertubuhan Pendidikan, Santifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2020.

“Usaha pengumpulan pantun ini berhadapan cabaran tersendiri, misalnya saya bersama beberapa petugas bahagian penyelidikan pernah ke seluruh Sabah untuk merakamkan pantun lisan.

“Bagaimanapun usaha kami itu berhadapan kesukaran kerana ramai orang tua-tua sudah meninggal dunia.

“Jika ada mereka berusia 60-an dan kebanyakan pantun lisan yang dikongsikan sudahpun direkodkan. Jadi usaha yang dibuat DBP sejak 1985 itu adalah sangat berharga,” katanya.

Tambah Saifullizan, selain pantun, bahagian penyelidikan juga juga terbabit dengan usaha alih aksara daripada jawi ke rumi membabitkan manuskrip lama.

Dalam usaha itu katanya, mereka turut mendapat kerjasama Istana Kelantan misalnya bagi mendapatkan naskhah Hikayat Hang Tuah.

“Selain itu, ada juga manuskrip lama yang dirumikan berasaskan antaranya Hikayat Tuan Puteri Saadong,”katanya

Sementara itu Dr Hanafi berkata, menerusi penyelidikan sastera kita dapat menganalisis dan menyelongkar pelbagai cabang bidang itu misalnya perkembangan sejarah sastera selain pemikiran pengarangnya

Katanya, sejarah moden sastera Malaysia bermula dengan Abdullah Munsyi pada awal abad ke-19, selain itu tidak banyak diketahui mengenai kedudukan masyarakat sebelum itu, membabitkan aspke sosio ekonomi dan sebagainya.

“Tapi kita boleh melihatnya melalui sejarah dan kita melihatnya menerusi karya-karya.

“Menerusi karya sastera ia mengandungi pemikiran masyarakatnya selain juga mengenal genre-genre yang ada,” katanya.

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *