KUALA LUMPUR: Tidak semua perasaan cinta perlu diungkap. Ada ketika cukup sekadar bahasa tubuh atau perbuatan untuk menterjemahkan apa yang tersirat serta tersurat dalam hati.
Itulah yang berlaku kepada pasangan pelakon, Redza Rosli, 32, dan Bella Hanna, 28. Pasangan sama cantik, sama padan itu diijabkabulkan pada satu majlis di sebuah premis acara di Cheras, Kuala Lumpur, Jumaat lalu.
Berbeza pasangan selebriti lain yang sudi berkongsi kisah cinta sebelum ke jenjang pelamin, Redza dan Bella atau nama sebenarnya, Farhana Nabila Rosman lebih selesa merahsiakan hubungan terjalin daripada pengetahuan umum.
Mengulasnya, Redza berkata, keputusan tidak mendedahkan hubungan cinta dibuat kerana enggan berkongsi perkara yang masih belum pasti.
“Saya bukan tak nak kongsi, cuma kami belum pasti sama ada hubungan ini menjadi atau tidak.
“Bagi saya, bila sudah ada tarikh dan yakin dia adalah yang terbaik untuk saya, baru keputusan berkahwin dibuat.
“Kami berkawan sudah beberapa tahun. Antara kami tiada nak isytihar bercinta kerana saya selesa berkawan dengan Bella selama ini.
“Suatu hari saya ajak Bella keluar dan masa itulah niat saya sudah jadi lain iaitu mahu memperisterikannya.
“Saya ajak Bella keluar untuk beli cincin dan ketika itulah kami saling luahkan perasaan,” katanya kepada BH Online.
Pada majlis itu, Redza atau nama sebenarnya, Ahmad Redza Rosli bergelar suami kepada pelakon dan pengacara itu dengan sekali lafaz.
Pasangan mempelai diijabkabulkan oleh bapa pengantin perempuan, Rosman Abdullah di hadapan Penolong Pendaftar Niah Qariah Masjid Taman Rakan Cheras, Mohamad Mustakim Sarmuji.
Ditanya bagaimana mampu menyembunyikan percintaan yang terjalin tanpa dihidu sesiapa, pelakon Wanita Syurga itu menegaskan, dia bukan seorang yang gemar berkongsi kisah peribadi.
“Saya memang tak pernah kongsi cerita peribadi dalam media sosial. Selalunya saya hanya kongsi soal kerjaya untuk mempromosikan drama dan hobi seperti menunggang motosikal berkuasa tinggi dan sebagainya.
“Lagipun, saya juga tidak gemar keluar berdua-duaan dengan Bella. Kalau nak keluar saya minta izin daripada orang tuanya.
“Ayah Bella seorang yang tegas, jadi saya perlu beritahu ke mana saya dan Bella pergi,” ungkap aktor berkulit hitam manis ini.

Sementara itu, mengulas keistimewaan Bella sehingga tertarik untuk memilihnya menjadi isteri, Redza memuji sifat sabar yang ada dalam diri pilihan hatinya itu.
“Saya seorang yang sukar dikawal. Hanya Bella mampu melayan kerenah dan terima segala kekurangan saya,” luahnya.
Disebabkan jadual kerja agak ketat, Redza berkata, mereka terpaksa menangguhkan sementara perancangan untuk berbulan madu.
“Saya sibuk di lokasi penggambaran hingga nak buat persiapan kahwin pun kena tunggu hari tiada ‘shooting’.
“Insya-Allah, saya berhasrat membawa isteri menunaikan umrah sebagai tanda terima kasih pada Allah kerana memudahkan urusan pernikahan kami.
“Soal anak, kami tak merancang apa-apa dan serahkan kepada rezeki,” katanya.
Bagi Bella, Redza adalah pilihan tepat kerana lelaki itu setia menemaninya dalam apa juga keadaan.
“Redza ada pada saat saya gembira, sedih dan boleh terima kekurangan saya. Dia juga bersabar dengan saya.
“Alhamdulillah, Redza memang yang terbaik untuk saya,” pujinya.
Kredit : Berita Harian