KUALA LUMPUR: Pelakon, pengacara dan pelawak kumpulan Masin, Jiggy, 35, bersyukur atas kejayaan isterinya, Nur Dhabitah Sabri, 25, yang mara ke separuh akhir acara 3 meter papan anjal di Sukan Olimpik Paris 2024.
Sebagai penyokong utama Nur Dhabitah yang juga penerjun negara, Jiggy atau nama sebenarnya, Mohammad Aizat Ahmad Nazri turut membuat beberapa hantaran berkaitan kejayaan diraih isterinya dalam Instagram Stories (IG’s).
“Alhamdulillah, baby (panggilan Nur Dhabitah) layak ke semi final (separuh akhir). Jangan lupa semua, teruskan memberi sokongan kepada mereka (atlet negara).
“Percayalah, jika rezeki itu sudah dituliskan oleh Allah untuk kita, tiada siapa yang boleh menidakkannya. Cuma, kuatkan hati untuk berusaha,” katanya berkongsi ucapan semangat.
Jiggy dan Nur Dhabitah berbeza usia 10 tahun mendirikan rumah tangga pada 28 April 2023. Difahamkan cinta berputik dalam kolam renang ketika menjayakan satu program televisyen.
Jiggy dalam temubual sebelum ini berkata, dia akan sentiasa memberi sokongan padu kepada isterinya untuk berusaha meraih kejayaan besar diimpikan Nur Dhabitah dalam karier sukan disertai.
“Saya dan isteri sudah berbincang mengenai kerjayanya dan akan terus memberikan sokongan buat Nur Dhabitah sehingga ke tahap prestasi Olimpik yang ingin dicapai.
“Dia masih muda dan perjalanan kariernya juga masih jauh. Kami terima seadanya dalam kerjaya diceburi, termasuk peluang mengejar impian yang ingin dicapai,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Nur Dhabitah berjaya melangkah ke separuh akhir acara 3 meter papan anjal selepas menduduki tangga ke-12 kelayakan.
Nur Dhabitah mengumpul 283.65 mata selepas lima terjunan, sekali gus melengkapkan peluangnya menjadi 18 penerjun ke separuh akhir yang dijadualkan berlangsung petang ini.
Pada penyertaan di Olimpik Tokyo lalu, Nur Dhabitah berjaya menamatkan saingan di tempat keempat dengan 326.15 mata, dipisahkan 17.6 mata berbanding pemenang pingat gangsa dari Amerika Syarikat, Krysta Palmer.
Kredit : Berita Harian