Jangan mudah terpengaruh kempen derma di media sosial

KITA digemparkan dengan berita penahanan pasangan pempengaruh dan beberapa individu menyeleweng dana derma awam. Media turut melaporkan sejumlah 20 akaun bank berserta jumlah wang simpanan antara faktor utama kepada penahanan itu.

Sebenarnya, kebarangkalian hal ini akan berlaku sangat tinggi apabila masyarakat mudah terpengaruh dengan pempengaruh berkongsi maklumat kempen derma menerusi platform media sosial mereka, walaupun ramai tidak mengetahui ke mana aliran wang derma mereka disalurkan.

Jika diperhatikan, kita dapat lihat dengan kempen derma sebegini mudah dilakukan, terutama di laman media sosial, lebih-lebih lagi membabitkan kutipan sumbangan bantuan bencana alam, peperangan, infak dan pembangunan madrasah yang mudah meraih simpati masyarakat.

Namun, apabila diteliti dengan lebih dekat, kebanyakan kempen derma dalam talian ini menggunakan individu terkenal seperti selebriti pelbagai bidang, juga pempengaruh semakin mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat kita.

Maka, tidak mustahil masyarakat dilihat begitu yakin memberikan sumbangan kepada pempengaruh ini.

Dalam Islam, jelas wakil derma tidak boleh mengambil wang sumbangan untuk tujuan selain sumbangan kepada pihak dipersetujui, kecuali dengan izin penderma. Oleh itu, penting untuk penderma ambil tahu ke mana wang sumbangan dialirkan.

Bagi pempengaruh, pastikan tahu dengan jelas bagaimana proses sumbangan wang derma dilakukan dan bagaimana sumbangan akan sampai ke pihak memerlukan.

Elak terjerat tindakan sendiri

Jangan kerana dijanjikan dengan komisen atau sagu hati sebagai bayaran khidmat promosi derma, hukum agama dan undang-undang diketepikan. Berhati-hatilah dalam membuat kandungan cuba untuk mengutip derma atau mempromosikan derma.

Malah, sebagai selebriti atau pempengaruh, besar tanggungjawab untuk memegang kepercayaan diberikan pengikut agar mereka tidak melakukan tindakan terburu-buru, sedangkan mereka sepatutnya menjadi suri teladan kepada masyarakat.

Sememangnya kita semua banyak bergantung kepada media baharu. Oleh itu, pembuat kandungan media perlu berhati-hati supaya tidak terjerat dengan tindakan sendiri.

Dalam hal samar-samar seperti ini, masyarakat disarankan lebih berhati-hati kerana membabitkan wang dan kepercayaan. Masyarakat juga dinasihatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan kandungan tidak jelas latar belakangnya serta tujuan kandungan.

Bimbing diri untuk menjadi lebih bertanggungjawab terhadap kandungan media diterima. Kaji dan analisis sebelum melakukan sebarang tindakan untuk diri sendiri atau juga kepada orang lain.

Menjadi masyarakat celik media adalah penting agar setiap maklumat diperoleh, tidak mempercayainya seratus peratus lebih-lebih lagi jika yang memberi maklumat itu bukanlah pakar dalam bidang disampaikan.

Di samping itu, semak melalui sumber lain yang lebih diyakini kesahihan maklumatnya supaya tidak tersilap langkah. Pastikan kesahihan kandungan media yang dimuat naik oleh individu atau pempengaruh yang anda ikuti serta laksanakan kajian ringkas kesahihan maklumat yang dikongsikan.

Penapisan kendiri sangat diperlukan kerana tiada sesiapa dapat memantau keseluruhan penggunaan media kita. Hanya diri sendiri boleh mendidik diri sendiri.

Elakkan ‘like, share and subscribe’ secara membuta tuli. Sebagai pengguna media sosial bertanggungjawab, seeloknya semak dan sahkan maklumat kandungan media itu sebelum dikongsikan kepada orang lain.

Dr Siti Aishah Mohammad Razi,
Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *