KUALA LUMPUR: Pelakon dan penerbit, Sheila Rusly setia menemani kekasih anaknya, Luth Mikhail iaitu Baetrice Chitra untuk memeluk Islam di sebuah masjid.
Menerusi satu hantaran video dimuat naik di Instagram, Sheila dan keluarga hadir menjadi saksi wanita itu mengucap dua kalimah syahadah dengan bimbingan seorang ustaz.
Sebaik mengucap dua kalimah syahadah, Baetrice atau lebih mesra disapa Bae gagal menahan air mata apabila kini bergelar mualaf.
Bukan hanya Bae, Luth juga kelihatan menangis teresak-esak tatkala menyaksikan teman wanitanya memeluk Islam.
Perkongsian Sheila itu pantas menarik perhatian ramai termasuk selebriti yang meninggalkan komen positif, selain tidak sabar menantikan penyatuan antara Luth dan Bae.

“Masya-Allah, cantiknya. Sebak pula tengok video ini, Semoga awak dan keluarga sentiasa dalam rahmat kasih sayang Allah,” kata Nurkhiriah.
“Ya Allah, cantik sungguh aturan Allah. Semoga dipermudahkan segalanya buat Mika, Aunty Ina (Zarina) doakan berkekalan hingga ke Jannah,” kata Zarina Zainuddin.
“Alhamdulillah, sebak tengok video ini. Tahniah Luth Mikhail,” tulis Dayana Roza.
Sementara itu, cubaan Harian Metro menghubungi Sheila bagi mendapatkan reaksinya dan maklumat terkini mengenai bakal menantunya tidak berjaya apabila panggilan telefon dan mesej WhatsApp tidak dijawab.
Kredit : Berita Harian