Lawatan PM ke India perkukuh kerjasama diplomatik, ekonomi

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, melawat India pada Isnin ini untuk bertemu rakan sejawatnya, Narendra Modi, menandakan detik penting dalam hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

India menjalin hubungan diplomatik sejak negara merdeka pada 1957 dan bertambah erat sekitar 1960-an kerana keakraban hubungan antara Perdana Menteri ketika itu, Jawaharlal Nehru dan Tunku Abdul Rahman Putra.

Kunjungan kali ini boleh disifatkan sebagai lanjutan daripada usaha berterusan untuk mempereratkan hubungan yang sedia kukuh antara India dan Malaysia.

Akhir Mac lalu, Menteri Hal Ehwal Luar India, S Jaishankar, melawat Kuala Lumpur sebagai sebahagian daripada lawatannya ke Asia Tenggara, di mana beliau bertemu dengan Anwar.

Perbincangan mereka merangkumi pelbagai subjek, termasuk perdagangan, kerjasama digital, pertahanan dan isu serantau seperti krisis di Myanmar.

Lawatan Anwar kali ini dijangka bertumpu kepada isu seperti perdagangan, sains dan teknologi, pendidikan, pertanian, pelancongan, pertahanan dan pekerja asing, selain kebimbangan serantau membabitkan krisis di Bangladesh, Myanmar dan Asia Barat.

Pada masa sama, isu berkaitan komoditi asas seperti beras, gula dan bawang yang eksportnya dikenakan sekatan, selain eksport minyak sawit Malaysia ke India dijangka turut dibincangkan.

Seperti diketahui, India pengeksport beras dan bawang terbesar di dunia serta pengeksport gula kedua terbesar, mengenakan sekatan ke atas eksport komoditi itu pada 2023 untuk memastikan harga tempatan terkawal menjelang pilihan raya umum (PRU) pada April-Mei 2024.

Terdapat permintaan di pihak negara pengeksport atau pengimport, meminta India memikirkan semula larangan eksport beberapa komoditi terbabit. Malaysia dan Indonesia adalah pembekal utama minyak sawit ke India setiap tahun, secara purata sekitar 9.5 hingga 10 juta tan bagi kegunaan domestik, yang mana Malaysia membekalkan tiga juta tan.

Isu kritikal mungkin mendominasi perbincangan ketika lawatan Perdana Menteri ialah kajian semula Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) India-Malaysia, secara rasmi dikenali sebagai Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif (CECA).

Dilaksanakan pada Julai 2011, perjanjian ini dirangka untuk meningkatkan perdagangan dalam barangan, perkhidmatan dan pelaburan antara kedua-dua negara.

Bagaimanapun, di sebalik hasrat melaksanakan CECA, India menyaksikan defisit perdagangan semakin meningkat dengan Malaysia, mencerminkan pengalamannya berdasarkan FTA India-ASEAN lebih luas.

Pada tahun fiskal 2010-2011, apabila CECA ditandatangani, India mengalami defisit perdagangan sebanyak AS$2.65 bilion (RM11.8 bilion) dengan Malaysia. Menjelang 2023-2024, defisit ini meningkat kepada AS$5.49 bilion (RM24.45 bilion), walaupun terdapat peningkatan dalam eksport.

Eksport India ke Malaysia berjumlah AS$7.26 bilion (RM32.33 bilion), manakala import dari Malaysia mencecah AS$12.75 bilion (RM56.8 bilion) dalam tempoh sama.

Ketidakseimbangan perdagangan semakin meningkat itu mendorong India untuk mengkaji semula FTA, bertujuan mengimbangkan perdagangan lebih setara dan saling menguntungkan.

Bincangkan potensi pelarasan kepada FTA 

Jabatan Perdagangan India mula mengumpul pendapat daripada pelbagai badan industri dan majlis promosi eksport untuk mengenal pasti halangan tarif serta bukan tarif menghalang perdagangan dengan Malaysia.

Pendapat ini akan menjadi asas agenda India dalam mesyuarat suruhanjaya bersama dengan Malaysia, yang mana kedua-dua pihak dijangka membincangkan potensi pelarasan kepada FTA.

Satu bidang tumpuan mungkin menjurus pada Peraturan Asal-Usul Produk Khusus, menentukan sumber nasional produk dan boleh menawarkan lebih keanjalan kepada barangan tertentu dieksport India.

Satu lagi aspek penting dalam lawatan itu ialah perbincangan mengenai kerjasama pertahanan dan maritim, suatu bidang yang mana India dan Malaysia melihat potensi besar untuk pembangunan.

Selain itu, terdapat minat kuat dalam kerjasama industri pertahanan, khususnya berkaitan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pembabitan dalam isu berkepentingan serantau.

Malaysia menyatakan keyakinan terhadap keupayaan industri pertahanan India dan berminat meneroka kemungkinan bekerjasama dalam aspek reka bentuk, pengeluaran dan pembangunan dalam sektor berkenaan.

Satu bidang kerjasama berpotensi diteroka adalah pembinaan dan penyelenggaraan kapal, yang mana kepakaran India boleh melengkapkan keperluan Malaysia. Kedua-dua negara berkongsi platform sama dalam angkatan tentera masing-masing, umpamanya jet pejuang Sukhoi dan kapal selam Scorpene, boleh menjadi asas kerjasama teknikal lebih mendalam.

Hindustan Aeronautics Limited (HAL) India mengeluarkan sekitar 280 jet pejuang Sukhoi dengan kerjasama Russia, pengalaman itu mungkin boleh dimanfaatkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), yang turut menggunakan pesawat terbabit.

Malaysia turut berminat memanfaatkan kepakaran India dalam teknologi baharu seperti keselamatan siber, kecerdasan buatan (AI) dan sektor Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik pulih (MRO), khususnya bahagian kapal selam.

Dalam pada itu, India dan Malaysia berkongsi kebimbangan mengenai krisis sedang berlaku di rantau ini dan berkemungkinan meneroka cara untuk bekerjasama dengan lebih berkesan dalam menanganinya.

Krisis pelarian Rohingya di Bangladesh dan Myanmar, adalah perkara membimbangkan kerana kedua-dua negara terbabit dalam menyediakan bantuan kemanusiaan serta mencari penyelesaian secara aman kepada konflik itu.

Kesimpulannya, lawatan Anwar ke India dilakukan pada titik kritikal dalam hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Ketika kedua-dua negara mengharungi kerumitan dinamik serantau dan global, kerjasama mereka berpotensi memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan Asia Tenggara.

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *