April 2, 2026

Pelancong tanam pokok ‘bayar’ jejak karbon boleh selamatkan Cameron Highlands

Kawasan tanah tinggi dicirikan rupa bumi berceranggah dan landskap nyaman, memberikan satu set cabaran tetapi peluang untuk pembangunan ekonomi. Kawasan ini adalah tempat kepada pelbagai ekosistem flora dan fauna, sekali gus berpotensi sebagai sumber pertumbuhan ekonomi negara.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, usaha mencapai pertumbuhan ekonomi hijau, mampan dan inklusif di tanah tinggi mendapat perhatian pihak berkepentingan.

Potensi ekonomi kawasan tanah tinggi menawarkan peluang untuk pertanian mampan, pelancongan, tenaga boleh diperbaharui dan industri artisan tradisional.

Wilayah Tanah Tinggi Cameron Highlands, Kinta dan Loging (CEKAL) berkeluasan 321,638 hektar ialah kawasan utama pelancongan dan tanaman iklim sederhana di negara ini.

Antara tarikan utama wilayah ini adalah iklim lebih sejuk berbanding tanah dataran rendah. Pada 2022, wilayah ini menyumbang kepada kadar sara diri (SSR) sayur-sayuran sebanyak 19.27 peratus, manakala anggaran jumlah perbelanjaan pelancong ialah RM1.22 bilion.

Bagaimanapun keadaan rupa bumi fizikal Wilayah CEKAL bercerun meningkatkan risiko bencana alam seperti tanah runtuh, aliran puing dan banjir berasaskan empangan.

Seluas 13,687 hektar kawasan pembangunan tepu bina dan pertanian sedia ada terdedah kepada kawasan bencana alam. Kejadian tanah runtuh berlaku di laluan Simpang Pulai menuju ke Cameron Highlands pada Disember 2021 menyedarkan keperluan mengambil kira faktor risiko bencana semasa merancang dan membangunkan kawasan tanah tinggi.

Di negara ini, pelbagai kajian berkaitan pembangunan tanah tinggi dilakukan. Kajian ini menyenaraikan kesan negatif pembangunan tidak terkawal terhadap persekitaran tanah tinggi dan merumuskan pembangunan pesat tidak terkawal membawa kepada degradasi persekitaran sehingga berlaku bencana persekitaran.

Amalan pertanian tak mampan beri kesan negatif

Di kawasan CEKAL terutama Cameron Highlands, amalan pengeluaran pertanian disifatkan tidak mampan memberi kesan negatif kepada alam sekitar, hidupan liar, pelancongan dan kesejahteraan penduduk tempatan.

Pertama, kegiatan pertanian intensif. Penggunaan tanah tinggi untuk pertanian komersial secara intensif sering mengakibatkan penebangan hutan dan penukaran kawasan semula jadi kepada ladang, mengurangkan biodiversiti serta meningkatkan risiko hakisan tanah.

Kedua, pembangunan infrastruktur. Pembinaan jalan, resort dan kemudahan lain di kawasan tanah tinggi meningkatkan risiko tanah runtuh serta mengubah aliran air semula jadi, yang boleh menyebabkan banjir.

Ketiga, pengurusan sisa dan pencemaran. Pertambahan aktiviti manusia di kawasan CEKAL meningkatkan pencemaran daripada bahan kimia pertanian, sisa pepejal dan air kumbahan, yang mencemarkan sumber air dan tanah.

Keempat, hakisan dan tanah runtuh. Aktiviti manusia tidak terkawal menyebabkan hakisan tanah, bukan sahaja merosakkan struktur tanah, bahkan meningkatkan risiko tanah runtuh, terutama semasa musim hujan.

Kelima, keseimbangan ekosistem. Penebangan hutan dan perubahan guna tanah menyebabkan gangguan kepada ekosistem semula jadi, mengurangkan habitat hidupan liar dan mengubah keseimbangan ekosistem.

Bagaimanapun terdapat petani mempertingkat pengeluaran dengan amalan menuju ke arah strategi mampan kurang merosakkan alam sekitar. Tekanan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan peraturan pihak berkuasa ketat menggalakkan amalan pertanian organik walaupun hanya sejumlah kecil petani terbabit.

Umumnya, petani mempelajari teknik baharu, memula dan menyokong teknik penanaman lebih mesra alam serta menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran dan sosioekonomi.

Perlu jaga CEKAL demi keterjaminan makanan, pelancongan

Memandang ke hadapan, Wilayah CEKAL berperanan penting dalam pembangunan ekonomi terutama menangani keterjaminan makanan dan pelancongan.

Ia perlu dibangunkan dengan pendekatan ekonomi hijau rendah karbon dan berdaya huni merujuk kepada usaha pembangunan dengan menimbang kemampanan serta mengurangkan risiko alam sekitar dan bahaya ekologi, peningkatan sosioekonomi masyarakat dan pemeliharaan identiti tempatan.

Hakikatnya, pendekatan ini berpandukan surah An-Nahl ayat 15: “Dan Ia mengadakan di bumi, gunung-ganang menetapkan supaya tidak menghayun-hayunkan kamu; dan ia mengadakan sungai serta jalan lalu lalang, supaya kamu dapat sampai ke matlamat kamu tuju.”

Justeru, beberapa pendekatan boleh diketengahkan dalam mencapai matlamat penting ini.

Pertama, kawalan alam sekitar. Pelaksanaan amalan ekonomi hijau dengan penetapan harga karbon dan cukai karbon bertujuan mengurangkan pelepasan karbon, menggalakkan amalan mampan serta menjana hasil boleh dilaburkan semula ke dalam projek alam sekitar dan sosial.

Kedua, amalan pertanian lestari. Memastikan semua penanaman sayur-sayuran mempunyai pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP). Selain itu, inisiatif penting untuk memaklumkan pengguna terhadap kesan alam sekitar daripada penggunaan makanan mereka adalah pelabelan jejak karbon.

Pelabelan jenis ini memberikan ketelusan dan menggalakkan pengguna menyokong pengeluar karbon rendah, akhirnya mendorong permintaan untuk produk lebih mampan.

Ia membabitkan paparan jumlah pelepasan karbon dioksida dihasilkan sepanjang kitaran hayat produk makanan termasuk daripada pertanian, pemprosesan, pengangkutan, pembungkusan dan pelupusan.

Contoh dilaksanakan ialah Carbon Trust di United Kingdom (UK) dan Carbon Reduction Label di Perancis.

Ketiga, amalan pelancongan rendah karbon. Mewujudkan program pensijilan hijau untuk perniagaan pelancongan mesra alam memenuhi kriteria kemampanan seperti kecekapan tenaga, pengurangan sisa dan neutraliti karbon.

Pensijilan hijau dalam pelancongan tanah tinggi adalah aspek penting dalam pembangunan mampan, bertujuan meminimumkan kesan alam sekitar aktiviti pelancongan sambil mempromosikan faedah ekologi, budaya dan ekonomi.

Galakkan pelancong sumbang projek pengimbangan karbon

Contoh amalan ini adalah di Bhutan dan Swiss Alps. Selain itu, menggalakkan pelancong menyumbang kepada projek pengimbangan karbon seperti penanaman semula hutan untuk mengimbangi pelepasan dijana oleh perjalanan dan penginapan mereka.

Ia membabitkan pengiraan jejak karbon dijana aktiviti pelancongan untuk membantu dalam mengimbangi pelepasan dan menggalakkan kelestarian alam sekitar.

Keempat, program pendidikan dan kesedaran. Meningkatkan kesedaran dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong mengenai pentingnya mengekalkan keseimbangan ekosistem tanah tinggi.

Program pendidikan alam sekitar boleh membantu dalam mengubah sikap dan amalan masyarakat terhadap penggunaan tanah tinggi.

Kelima, pemantauan dan penyelidikan. Meningkatkan usaha pemantauan dan penyelidikan mengenai kesan perubahan iklim serta pembangunan ke atas kawasan tanah tinggi. Data diperoleh boleh digunakan untuk membangunkan strategi pengurusan lebih berkesan.

Bagi memastikan keberkesanan pendekatan ekonomi hijau rendah karbon dan berdaya huni ini, antara lain memerlukan kerjasama dan komitmen pihak berkuasa, komuniti tempatan dan pelbagai pihak berkepentingan untuk memastikan tanah tinggi Wilayah CEKAL dapat dipelihara bagi generasi akan datang.

Sukuran adalah Pengarah Bahagian Rancangan Fizikal Negara, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), manakala M Nasir adalah Profesor Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *