Sokong saya berlakon sampai usia 50 tahun – Siti Khadijah

SHAH ALAM: Biarpun tercalon dalam Top 20 bagi dua kategori pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-36, pelakon, Siti Khadijah Halim tidak mahu berbangga atau menganggap dirinya popular.

Siti Khadijah yang bersaing dalam kategori Aktres TV Popular dan Couple Drama Popular melalui penampilan bersama Ikmal Amry dalam drama From Saga With Love, bersyukur bolos Top 20.

Namun, Siti Khadijah tidak meletakkan harapan besar untuk peminatnya mengundi.

“Saya tidak popular… Saya cuma ada sokongan kuat. Saya beritahu peminat usah bazir undi saya. Malah, sebelum ini, saya selalu ingatkan kepada peminat, setiap kali tibanya hari jadi saya, jangan beli apa-apa.

“Saya fikir peminat ada bersama saya sudah cukup. Sokong dan tengok drama saya pun sudah cukup. Jujur, saya tidak minta. Saya hanya harap peminat sokong saya berlakon sampai usia saya 50 tahun… Tidak menang (trofi ABPBH 36) tak mengapa,” katanya ditemui pada penggambaran drama terbaharu, Rahsiamu Selamat Denganku di Universiti HELP, Subang Bestari, baru-baru ini.

Dalam kategori Aktres TV Popular, Siti Khadijah berdepan saingan pelakon hebat antaranya Anna Jobling, Fasha Sandha, Hannah Delisha, Janna Nick, Bella Astillah, Mira Filzah dan Siti Saleha.

Bagi kategori Couple Drama Popular, Siti Khadijah berdepan saingan antaranya Datuk Aaron Aziz dan Zara Zya bagi drama Derhaka Sebuah Cinta; Adam Lee dan Sweet Qismina (Bukan Lelaki Terhebat); Aedy Ashraf dan Nabila Razali (Kerana Cinta Itu Ada) serta Aeril Zafrel dan Fasha Sandha (Serpihan Sayang).

Siti Khadijah yang popular melalui drama Ash & Aish tidak mahu populariti menjadikan dia lupa diri.

“Hendak cakap soal populariti atau kecantikan, ramai yang lebih cantik dan popular daripada saya. Apatah lagi daripada segi bakat. Jadi, saya fikir saya tidak popular… Saya biasa sahaja.

“Saya sebenarnya tidak mahu letak diri sebagai artis popular. Saya tidak mahu riak, bongkak atau lupa diri.

“Saya cuba rendahkan diri. Tuhan boleh beri dan tarik (nikmat) pada bila-bila masa,” katanya.

Baru-baru ini, Siti Khadijah dikejutkan kira-kira 30 peminat yang juga ahli kelab, Sweeties of Siti. 

Siti Khadijah terkejut melihat peminat yang sanggup datang dari jauh seperti Singapura, hanya untuk menggembirakan hatinya dengan menghantar trak makanan.

“Ini bukan kali pertama mereka buat kejutan dengan menghantar trak makanan. Ini kali kedua peminat mengambil usaha ini.

“Sebelum ini, mereka hanya hantar trak makanan. Kali ini, mereka datang bersama. Saya sangat gembira melihat mereka sanggup datang dan berjumpa saya,” katanya.

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *