Guna pengangkutan awam, kitar semula sumbang negara rendah karbon

MALAYSIA kini sedang mengorak langkah ke arah masa depan lebih hijau dengan matlamat mencapai karbon sifar bersih menjelang 2050.

Ia dapat dilihat menerusi komitmen kerajaan bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Dekarbonisasi Kebangsaan dengan membabitkan kerajaan negeri serta pihak berkepentingan berkaitan bagi memastikan peralihan kepada pembangunan rendah karbon dilaksanakan secara teratur dan seimbang.

Fokus utama kerajaan juga adalah untuk mempercepat proses peralihan kepada ekonomi rendah karbon dan kepentingan melindungi rakyat daripada impak perubahan iklim makin dirasai negara.

Bagi mencapai visi ini, integrasi prinsip Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) perlu dilaksanakan secara menyeluruh dalam setiap aspek operasi industri serta kehidupan komuniti.

Hari ini, industri di Malaysia perlu memainkan peranan utama dalam menjayakan usaha ini melalui inovasi teknologi hijau dan penyesuaian strategi perniagaan lebih lestari.

Ini bukan sahaja tanggungjawab moral, tetapi juga keperluan perniagaan dalam era menuntut ketelusan dan akauntabiliti terhadap alam sekitar.

Maka, pelaburan dalam teknologi bersih dan proses operasi lebih mesra alam harus menjadi keutamaan. Sebagai contoh, penjanaan tenaga elektrik daripada sumber tenaga boleh baharu seperti tenaga solar perlu dipergiatkan.

Walaupun sasaran jangka pendek pada 2025 adalah untuk menghasilkan 20 peratus tenaga elektrik daripada sumber ini, pencapaian semasa setakat Julai 2022 hanya menunjukkan dua peratus menuntut tindakan lebih agresif.

Teknologi dan inovasi juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan kecekapan tenaga melalui pengurusan sumber lebih baik.

Di samping itu, industri perlu mengambil pendekatan proaktif dengan menilai risiko iklim menggunakan rangka kerja disaran Pasukan Petugas Pendedahan Kewangan Berkaitan Iklim (TCFD), yang akan membantu industri mengurus risiko dan peluang berkaitan iklim secara efektif.

Masyarakat juga patut memainkan peranan kritikal dalam usaha mencapai karbon sifar bersih. Melalui pendidikan dan kesedaran, langkah untuk mengurangkan jejak karbon boleh diperkasa.

Setiap individu boleh menyumbang dengan mengambil langkah mudah, tetapi signifikan seperti mengurangkan penggunaan tenaga, memilih pengangkutan awam dan mengamalkan kitar semula.

Selain itu, masyarakat boleh menyokong inisiatif tenaga boleh dibaharui, seperti tenaga solar, bukan sahaja mengurangkan kebergantungan terhadap sumber tenaga fosil tetapi membawa manfaat ekonomi jangka panjang. Pemasangan panel solar di rumah atau menyokong projek tenaga bersih pada peringkat komuniti antara langkah relevan untuk mencapai matlamat ini.

Oleh itu, masa depan lestari adalah tanggungjawab bersama. Setiap tindakan diambil industri dan masyarakat hari ini akan menentukan kelestarian bumi bagi generasi akan datang.

Justeru, tindakan segera dan kolektif amat diperlukan untuk memastikan Malaysia berjaya mencapai matlamat karbon sifar bersih menjelang 2050.

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *