“Ambil aliran Sastera, susah dapat kerja”

KOTA BHARU: Pandangan yang menyebut pengajian sastera hanya sia-sia dan sukar untuk memperoleh pekerjaan adalah mitos semata-mata.

Sebaliknya, masyarakat perlu cepat sedar dan membuang jauh pemikiran sebegitu kerana lulusan sastera sebenarnya banyak potensi dalam mendapatkan pekerjaan. Malah setakat ini tiada bukti yang menunjukkan graduan dengan lulusan sastera menganggur.

Hal ini dinyatakan Prof Dr Abdul Halim Ali dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang menangkis keraguan umum berkaitan pendidikan sastera yang dikatakan tidak mampu menawarkan kerjaya.

“Ada ibu bapa yang berpandangan, belajar sastera adalah tertumpu pada subjek Kesusasteraan Melayu semata-mata tapi sebenarnya pengajian itu mempunyai banyak cabang.

“Manakala, jika ditanya soal kerjaya, yang ramai menganggur adalah (lulusan) bidang Sains.

“Berapa ramai lulusan Sastera menganggur? Saya tak jumpa lagi statistik yang menyatakan hal itu, cuma kalau peratusan kebolehpasaran graduan Sastera adalah 100 peratus.

“Ada jaminan (pekerjaan) dan tiada jaminan adalah dalam fikiran orang yang penuh mitos mengenai bidang sastera tiada peluang kerja,” katanya dalam wacana sempena sambutan 25 Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur baru-baru ini.

Bagaimanapun, Abdul Halim berkata setakat ini di Malaysia, hanya sekolah di Kelantan paling banyak menawarkan aliran Sastera iaitu 69 buah, manakala di negeri-negeri lain jumlah itu sangat sedikit.

Angka itu katanya, tidak cukup banyak kerana jumlahnya semakin menurun dan untuk Kelantan, ia agak ironi kerana negeri itu dicanang sebagai ‘lubuk penulis’ selain melahirkan ramai karyawan terkemuka.

Justeru Abdul Halim menasihatkan supaya pihak sekolah tidak menyempitkan pintu kepada program yang mengekalkan bahasa, budaya dan sastera supaya warisan kesusasteraan dapat diteruskan.

“Mengajar sastera bukan hanya semata-mata mata pelajaran tapi mewariskan pusaka bangsa, siapa lagi yang akan mengajar ilmu seni ini? Tiada orang lain selain guru.

“Tapi bila isu semakin kurang sekolah yang tawarkan aliran Sastera, ia ibarat lagu ‘bangau oh bangau’, ini budaya yang sangat tidak baik dan perlukan kesedaran.

“Tak cukup dengan (peranan) DBP sahaja tapi sekolah harus buka pintu dan minda, mengajar Sastera di sekolah bermaksud kekalkan pusaka maka jagalah ia supaya seni budaya kekal selamanya,” katanya.

Wacana yang bertemakan DBPWT: Gerbang Peradaban Timur itu turut membariskan dua lagi panel iaitu Presiden Peradaban, Datuk A Aziz Deraman dan Pensyarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya

Prof Dr Hashim Ismail.

Dalam sesi wacana yang berlangsung kira-kira satu jam dengan menampilkan Pengarang Berita BH, Mohd Nazmi Yaakub sebagai moderator, A Aziz yang juga mantan Ketua Pengarah DBP, menekankan isu mata pelajaran Sastera perlu dijadikan perentas kurikulum yang tidak hanya harus diajar di sekolah tapi juga wajar diserap dalam pelbagai jurusan pengajian di institusi pengajian tinggi.

Beliau berkata, untuk pengisian dan pembentukan sahsiah bukan hanya mata pelajaran berkaitan Sains dan teknologi sahaja diperlukan sebaliknya ia turut menuntut pemikiran yang luas termasuk penguasaan sastera yang baik. Ia termasuk kekuatan sastera pada bahasa dapat diterjemahkan dalam sistem pendidikan.

“Sastera sepatutnya dijadikan perentas kurikulum, wajib diajar di institusi pengajian tinggi dengan jadikannya sebagai mata pelajaran yang perlu dipilih walau pelbagai jurusan,” katanya.

A Aziz berkata, tidak hanya bergantung kepada KOMSAS (Komponen Sastera) tapi sudah sampai masanya sastera perlu jadi mata pelajaran wajib di sekolah jenis kebangsaan.

Katanya lagi, sastera di negara Barat dijadikan komponen yang wajib dalam pendidikan malah jika menuntut di sesebuah universiti di Eropah, perlembagaan institusi pengajian itu turut diajar.

“Jika kita lihat di negara Barat, sastera dijadikan sesuatu yang wajib dan dulu kita lebih kenal Indonesia dengan teks yang wajib dibaca (iaitu) ‘Keluarga Gerilya’ tapi kini sudah tak ada, budaya membaca kita kurang sedangkan kita nak bahan yang mendatangkan pemikiran.

“Bagaimana sastera sudah mula terganggu dalam sistem dan ini malang bagi kita di Malaysia.

“Amalan di sekolah dulu, mata pelajaran sastera tiada batasan namun sekarang hanya fokus kepada mata pelajaran untuk dapat sijil tapi sahsiah kita tak terbina,” katanya.

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *