Harimau Malaya Dijangka Lonjak Ke Ranking 131 Dunia

Selepas mengutip dua kemenangan, Harimau Malaya dijangka akan mendaki tiga anak tangga dari tempat ke-134 kepada 131 dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Kenaikan ranking bola sepak negara itu berikutan kemenangan ke atas Lubnan dan Filipina sekaligus merangkul gelaran juara Pestabola Merdeka 2024 semalam.

Perkara ini memberikan gambaran awal dalam memperbaiki semula kedudukan pasukan bola sepak negara dalam ranking dunia.

Menurut laman footranking.com, Harimau Malaya berjaya mengumpul 10.06 mata daripada dua kemenangan itu.

Difahamkan, +4.48 mata diperolehi menerusi kemenangan 2-1 terhadap Filipina dan +5.58 mata ke atas Lubnan yang berada di ranking 116 dunia.

Setakat ini, Malaysia mengumpul 1117.64 mata di tangga ke-131 dunia, mengatasi jiran negara, Indonesia yang berada di tangga 132 dunia dengan jumlah 1115.61 mata kumpul.

Bagaimanapun, laman rasmi FIFA masih belum mengemaskini data kedudukan setiap negara bola sepak.

Untuk perlawanann seterusnya, skuad negara bakal beraksi pada Piala AFF Mitsubishi Electric 2024 yang akan bermula pada Disember tahun ini, sekaligus menawarkan pulangan mata ranking FIFA.

Semalam, Harimau Malaya berjaya merangkul trofi Pestabola Merdeka 2024 selepas menewaskan Lubnan 1-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Gol pembukaan Harimau Malaya menjelma menerusi sepakan Romel Morales pada minit ke-32.

Meskipun berjaya ditanpan oleh penjaga gol Lubnan namun ia sudah cukup untuk meletakkan bola ke dalam gawang lawan.

Bagaimanapun, gol tunggal itu sudah cukup untuk membawa Malaysia menjulang kejuaraan Pestabola Merdeka edisi kali ini.

Untuk rekod, Malaysia tidak pernah mencatatkan kemenangan ke atas Lubnan dalam dua perlawanan sepanjang pertemuan dengan negara itu sebelum ini.

Kemenangan ini mengakhiri kemarau 11 tahun piala Pestabola Merdeka yang kali terakhir dimenangi Malaysia pada tahun 2013 selepas menundukkan Myanmar 2-0.

Tambah jurulatih bola sepak negara, Pau Marti, para pemain bermain dengan bersungguh-sungguh.

Beliau turut menyifatkan aura pemain ke-12 tetap dirasai meskipun tidak ramai penyokong yang hadir ke stadium pada semalam.

Kredit : Siakap Keli

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *