KUALA LUMPUR: Minat mendalam dan kerja keras penyanyi dan pelakon, Afieq Shazwan menempatkan diri dalam bidang pengacaraan membuahkan hasil apabila namanya tersenarai dalam pencalonan awal Top 20 bagi kategori Pengacara TV Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36.
Lebih mengujakan pemilik nama lengkap Mohammad Shafieq Shazwan Zamros, 27, apabila turut bolos antara 10 calon undian tertinggi setakat ini menerusi kategori sama.
Afieq menyifatkan pencalonannya dalam kategori Pengacara TV Popular ibarat bulan jatuh ke riba.
“Sejujurnya, saya sangat terkejut apabila melihat nama melepasi senarai pencalonan Top 20 menerusi kategori Pengacara TV Popular.
“Sudah lama saya menceburi bidang pengacaraan sejak berusia 12 tahun hinggalah sekarang. Sepanjang tempoh ini banyak juga program yang saya kendalikan.
“Cuma, baru sekarang impian tercapai agar orang nampak kesungguhan saya dalam bidang pengacaraan,” katanya kepada BH Online.
Menjadikan pengacara senior, Datuk AC MIzal sebagai sumber inspirasi, bekas pengacara rancangan Talent Teens itu mengaku gementar apabila turut bersaing dengan idolanya itu.
“Saya tak letak harapan tinggi kerana nama mereka yang dicalonkan tidak kurang hebatnya terutama AC Mizal yang juga idola saya.
“Bila dapat duduk sebaris dengan orang-orang hebat ini, itu sudah memadai buat saya. Apapun, menang atau kalah, bukanlah fokus utama saya kerana apa yang penting, bakat pengacaraan sudah mula dipandang.
“Alhamdulillah, jika nak dibandingkan sebelum ini, rezeki saya sebagai pengacara cukup murah. Selain sibuk memenuhi undangan menyanyi dan berlakon, tawaran mengacara juga lebat.
“Pun begitu perjalanan karier saya dalam dunia pengacaraan masih jauh dan banyak lagi yang perlu saya belajar,” ujar penyanyi Rindunya Rindu ini.

Mengenai misi jangka panjang dalam dunia pengacaraan, Afieq mengimpikan untuk mengacarakan program sukan dan gaya hidup.
“Untuk fasa seterusnya, saya teringin mengacarakan program sukan, tapi lebih kepada gaya hidup.
“Walaupun saya menemubual ahli sukan, namun ia tetap ada elemen hiburan kerana ia cukup dekat dengan saya,” jelas pelakon drama rantaian, Rampas Cintaku itu.
Selain kategori Pengacara TV Popular, jejaka kelahiran Klang, Selangor itu turut bolos dalam tiga kategori lain iaitu Penyanyi Lelaki Popular, Artis Duo/Kolaborasi/Berkumpulan Popular bersama Tajul dan Lagu Paling Boom menerusi lagu Rindunya Rindu untuk kategori Ekstra!
“Saya meletakkan harapan pada kategori Artis Duo/Kolaborasi/Berkumpulan Popular kerana banyak lagu duet yang saya nyanyikan bersama Tajul menjadi siulan ramai dan tular.
“Kalau tak menang, dapat masuk Top 5 pun saya sudah bersyukur,” luah Afieq.
Menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan Ke-67, ABPBH 36 mengangkat tema Teguh membawa mesej keutuhan, perpaduan dan solidariti dalam kalangan rakyat Malaysia.
ABPBH 36 diinspirasikan CONBOO sebagai penaja utama.
Mempertandingkan 16 kategori utama, pemilihan artis dan selebriti kegemaran boleh dilakukan menerusi laman web ABPBH 36 di www.abpbh.com.my.
Kredit : Berita Harian