Siti imbau kenangan sepanjang 13 tahun bersaing di ABPBH

KUALA LUMPUR: Sepanjang 13 tahun mengukuh koordinat di pentas Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH), penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengaku pernah berdepan situasi di mana peminat tidak mahu lagi menyokongnya.

Siti mendedahkan keadaan itu berlaku berikutan ada peminat tidak merestui jejaka yang bakal menjadi calon suaminya itu.

“Saya pernah berdepan situasi peminat berpecah dua. Ada yang terus menyokong dan ada yang memilih untuk tinggalkan saya.

“Semuanya berpunca apabila saya pilih duda dan bukan lelaki bujang sebagai calon suami serta pelbagai perkara berbangkit lain.

“Mereka luahkan rasa kecewa dengan keputusan saya itu. Mujur ketika itu, media sosial tidak wujud lagi. Kalau tidak, habislah saya dikecam netizen.

“Ketika itu saya sudah reda dan terima dengan hati terbuka jika itulah keputusan mereka,” katanya ketika ditemubual dalam siri podcast ABPBH 36 di Balai Berita, Bangsar, baru-baru ini.

Sesi podcast sempena penganjuran acara anugerah berprestij pilihan peminat itu dikendalikan wartawan Harian Metro, Sudirman Mohd Tahir dan wartawan hiburan BH, Affan Rostam.

Bagaimanapun, Siti yang popular dengan lagu Aku Bidadari Syurgamu menjelaskan, beliau terus bersikap positif dan bersangka baik atas apa yang berlaku.

“Alhamdulillah saya dapat lalui dengan baik dan penuh kesabaran. Saya juga percaya pada Allah punya perancangan dan rezeki juga datang daripada-Nya.

“Tapi tidak lama pun saya tunggu kerana selepas berkahwin dan dicalonkan dalam ABPBH, saya menang.

“Saya tak sangka pun akan menang kerana pada jangkaan saya mungkin orang lain dan bukan saya. Selain sudah berkahwin, mungkin bukan lagi zaman saya.

“Rupanya sangkaan saya meleset dan peminat mula datang balik kepada saya. Mereka cuma mahu saya bahagia dan jika itu berlaku, mereka sangat gembira.

“Hendak buat macam mana, sudah tertulis itu jodoh saya. Suami pun jaga saya dengan baik,” kongsinya.

Siti menikahi tokoh korporat dan usahawan, Datuk Seri Khalid Muhd Jiwa atau lebih dikenali sebagai Datuk K pada 21 Ogos 2006 di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Melalui wawancara itu juga, penerima Anugerah Seri Perak ABPBH 2012 itu turut meluahkan rasa terkilan dengan sikap segelintir pihak yang sering mempertikaikan kemenangannya dalam acara anugerah itu.

“Tindakan sesetengah pihak yang persoalkan kenapa saya asyik menang ABPBH boleh dianggap sebagai titik terendah dalam hidup saya.

“Komen negatif seperti itu membuatkan saya terfikir untuk menarik diri daripada ABPBH. Kenapa kemenangan saya itu perlu dipandang dari sudut negatif?

“Janganlah fikir mengapa saya asyik menang, tetapi anggaplah ia satu persaingan sihat untuk tingkatkan prestasi.

“Lagipun ciri untuk menang itu dilihat dari segi aktifnya seseorang artis itu dalam satu tempoh tertentu, lagu yang ‘meletup’ dan anjurkan konsert.

“Kalau rasa ada keinginan untuk menang, kena buat perancangan yang bagus dan sentiasa bekerja keras,” pesan penyanyi bersuara buluh perindu ini.

Selepas mengumpul 13 trofi Penyanyi Wanita Popular dan dinobatkan tujuh kali sebagai Bintang Paling Popular, Siti akhirnya memutuskan untuk tidak lagi bertanding dalam ABPBH.

“Saya fikir banyak kali sebelum buat keputusan ini. Tidak dinafikan, setiap kali ABPBH, peminat saya, Sitizoners akan bertungkus lumus, berkorban masa, tenaga dan wang ringgit untuk undi saya.

“Zaman dahulukan kena beli surat khabar untuk undi. Sampai satu masa saya rasakan mereka tidak perlu lagi buat begitu untuk pastikan saya menang.

“Saya tahu mereka tetap akan berada di sisi saya dalam apa juga keadaan sekali pun. Saya hendak mereka berehat.

“Sitizoners memang terbaik dan jika mereka nak sokong artis lain, silakan,” katanya.

Selain mencatat rekod sebagai pemenang terbanyak, bekas pemenang Bintang HMI 1995 itu juga menyifatkan pentas ABPBH menyerlahkan kreativitinya dalam berkarya.

“Menang itu menang juga tapi kalau bercakap pasal ABPBH, saya juga banyak kali diundang membuat persembahan pada malam kemuncak.

“Pelbagai lagu saya nyanyikan yang muziknya disusun semula. Ada rentak Arab-India dan juga K-Pop.

“Paling tidak dapat dilupakan adalah persembahan saya bersama penyanyi legenda, Allahyarham Datuk Sharifah Aini.

“Momen itu sangat istimewa dan meninggalkan kesan pada penonton,” katanya.

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *