‘Kenapa pembangkang diam bila ringgit mengukuh?’ – PM Anwar

PUCHONG: Tindakan pembangkang yang berdiam diri dengan situasi ringgit yang mengukuh dilihat seperti menimbulkan persoalan tentang peranan semak dan imbang mereka terhadap kerajaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, situasi sama sekali berbeza apabila ringgit menunjukkan prestasi lemah berbanding dolar Amerika sejak beberapa bulan lepas, dengan pihak pembangkang yang secara berterusan mencaci kemampuan pihak kerajaan menguruskan ekonomi negara.

Pada masa yang sama, Anwar berkata, beliau memandang positif keputusan Rizab Persekutuan (The Fed) Amerika Syarikat (AS) memotong 50 mata asas kadar faedah, satu tindakan yang akan memberi kelebihan kepada usaha pengukuhan ringgit.

“Itu keputusan dia (The Fed), tapi kadang-kadang keputusan itu ada kesan (kepada ekonomi negara), tetapi kalau setakat mereka potong (mata asas kadar faedah), itu memberikan laluan kepada penguatan ringgit yang mula berjalan, Alhamdulillah menjadi lebih baik.

“Walaupun kadang-kadang rakan (pembangkang) kita di sana tak nampak, bila nampak ringgit melemah dia hentam dan caci kita berterusan, bila menguat (hanya berdiam diri) … kita kata Alhamdulillah. Jadi cukup setakat ini,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Masjid Darussalam, Puchong pada Jumaat, apabila ditanya tentang kesan tindakan The Fed itu kepada ekonomi negara.

Kredit: Astro Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *